Pengantar
Dengan nama
Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah,
Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam atas yang paling mulia
di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan
sahabat-sahabat baginda saw.
Daku reda Allah
adalah Tuhan, Islam adalah Agama, Nabi Muhammad saw adalah Nabi dan Rasul,
al-Quran adalah Imam, Kaabah adalah Kiblat dan Mukmin adalah saudara.
Wahai tuhanku!
Engkau jualah maksud dan tujuanku dan keredaan Engkau jua yang daku cari. Daku
mengharapkan kasih sayang-Mu dan kehampiran-Mu.
Kitab
al-Hikam karangan Imam Tajuddin Abu Fadhli Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim
bin Athaillah Askandary boleh dianggap sebagai buku teks yang perlu dipelajari
oleh orang-orang yang mahu mendalami ilmu tauhid / tasauf serta berjalan pada
jalan kerohanian. Dalamnya mengandungi kata-kata hikmat yang boleh dijadikan
petunjuk jalan menuju Allah s.w.t dan mencapai keredaan-Nya.
Pada mulanya
daku mengenali Kitab al-Hikam pada namanya sahaja. Apa yang diperkatakan adalah
kitab ini merupakan sebuah kitab yang sukar difahami. Hanya sedikit sahaja
bilangan guru-guru yang mampu mengajarkan kitab ini. Anggapan yang telah
tertanam dalam fikiranku adalah hanya orang-orang yang khusus sahaja layak
mempelajari kitab tersebut. Oleh yang demikian daku tidak pernah mencuba untuk
mempelajarinya.
Kehendak
Allah s.w.t mengatasi segala perkara. Apabila daku dimasukkan ke dalam bidang
kerohanian timbullah minat dan kecenderungan untuk mengetahui isi Kitab
al-Hikam. Daku mula mempelajari syarah-syarah kitab tersebut yang boleh
didapati di kedai-kedai buku. Sedikit sekali kefahaman yang terbuka kepadaku.
Kemudian daku mempelajari kitab-kitab tasauf yang boleh daku dapati dari
berbagai-bagai sumber. Berbekalkan sedikit pengetahuan dalam ilmu tasauf, daku
mempelajari semula Kitab al-Hikam. Apa yang daku fahamkan itu daku tuliskan
sebagai satu cara pembelajaran. Beberapa orang sahabat telah membaca teks yang
asal dan memberi teguran yang membina. Hasil dari teguran itu daku tulis semula
Syarah al-Hikam ini.
Apa yang daku
fahamkan dan perolehi dari khazanah al-Hikam ingin daku kongsikan dengan
saudara-saudara Muslimku. Mudah-mudahan Allah s.w.t memberikan taufik dan
hidayat kepada kita semua.
Penyusun
Syarah al-Hikam ini bukanlah seorang yang alim dalam ilmu tasauf, apa lagi ilmu
fikah. Oleh itu adalah baik jika saudara-saudara yang membaca kitab ini
merujukkan kepada orang yang alim. Jika terdapat perbezaan pendapat di antara
isi kitab ini dengan perkataan orang alim, anggaplah kefahaman penyusun telah
tersilap dan berpeganglah kepada perkataan orang alim. Penyusun memohon
kemaafan di atas kesilapan tersebut. Sekiranya apa yang diperkatakan dalam
kitab ini adalah benar, maka sesungguhnya kebenaran itu dari Allah s.w.t. Hanya
Dia yang patut menerima pujian. Hanya kepada-Nya kita bersyukur.
Wahai saudara-saudaraku
yang daku kasihi.
Ilmu adalah nur.
Hati juga nur. Dan, Nur adalah salah satu nama daripada Nama-nama Allah s.w.t.
Nur Ilahi, hati dan ilmu berhubung rapat. Hati yang suci bersih menjadi bekas
yang sesuai untuk menerima pancaran Nur Ilahi. Hati yang dipenuhi oleh Nur
Ilahi mampu menerima Nur Ilmu dari alam ghaib. Nur Ilmu yang dari alam ghaib
itu membuka hakikat alam dan hakikat Ketuhanan. Hati yang menerima pengalaman
hakikat memancarkan nurnya kepada akal. Akal yang menerima pancaran Nur Hati
akan dapat memahami perkara ghaib yang dinafikan oleh akal biasa. Bila
hati dan akal sudah beriman hilanglah keresahan pada jiwa dan kekeliruan pada
akal. Lahirlah ketenangan yang sejati. Hiduplah nafsu muthmainnah menggerakkan
sekalian anggota zahir dan batin supaya berbakti kepada Allah s.w.t.
Jadilah insan itu seorang hamba yang sesuai zahirnya dengan Syariat dan
batinnya dengan kehendak dan lakuan Allah s.w.t. Bila Allah s.w.t memilihnya,
maka jadilah dia seorang insan Hamba Rabbani, Khalifah Allah yang diberi tugas
khusus dalam melaksanakan kehendak Allah s.w.t di bumi.
Khalifah Allah
muncul dalam berbagai-bagai bidang. Mana-mana bidang yang dipimpin oleh Muslim
yang bertaraf Khalifah Allah akan menjadi cemerlang dan kaum Muslimin akan
mengatasi kaum-kaum lain dalam bidang berkenaan. Khalifah ekonomi akan membawa
ekonomi umat Islam mengatasi ekonomi semua kaum lain. Khalifah tentera akan
membebaskan umat Islam dari kaum penjajah dan penindas yang zalim.
Khalifah dakwah akan membukakan Islam yang sebenarnya dan membersihkannya
dari bidaah, kekarutan dan kesesatan. Bila semua bidang kehidupan
dipimpin oleh Khalifah Muslim maka umat Islam akan menjadi umat yang teratas
dalam segala bidang.
Mulalah
bekerja membentuk hati agar ia menjadi bercahaya dengan Nur Ilahi. Nur Ilahi
adalah tentera bagi hati yang akan mengalahkan segala jenis senjata dan segala
jenis sistem, walau bagaimana canggih sekali pun. Bila Nur Ilahi sudah memenuhi
ruang hati umat Islam maka umat Islam akan menjadi satu puak yang tidak akan
dapat dikalahkan oleh sesiapa pun, dalam bidang apa sekalipun. Insya-Allah!
Tidaklah Allah
memberati suatu diri melainkan sekadar terpikul olehnya. Dia akan mendapat
pahala dari apa yang dia usahakan dan akan mendapat siksa atas apa yang dia
usahakan pula. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau tuntut kami di atas kealpaan
kami dan kekeliruan kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas
kami siksa, sebagaimana yang pernah Engkau pikulkan atas orang-orang yang
sebelum kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau timpakan ke atas kami perintah
yang tidak bertenaga kami dengan dia, dan maafkanlah (dosa-dosa) kami dan
ampunilah kami dan kasihanilah kami; Engkau jualah Penolong kami. Maka
tolonglah kami atas mengalahkan kaum yang tidak mahu percaya. (Ayat
286 : Surah al-Baqarah )
Dan tulislah
untuk kami satu kebaikan di dunia dan juga akhirat. Sesungguhnya kami telah
bertaubat kepada Engkau. ( Ayat 156 : Surah al-A’raaf )
Wahai Tuhan
kami! Berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat pun kebaikan. Dan peliharalah
kami daripada seksaan neraka. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Amin! Ya Rabbal
‘Aalamin.
Wassalam.
SEBAHAGIAN
DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN
HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah
memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat
amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan
perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa
orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung
dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza
antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi
suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati
dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga
kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar
kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap
kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa
sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t
tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan
amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk
tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi
perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak
membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang
mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh
kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong
ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut
perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan
makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan
perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati
manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun
yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang
mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin
adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut
berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik
di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat
manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah
kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t,
pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa
diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam
Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya.
Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau
dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat
dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat
lemah. Firman-Nya:
“Wahai
anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah
melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas
menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan
pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan
kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan
hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak
mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini
bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu
beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.
Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat
Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang
mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak
beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan
mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan
usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan
pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang
setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal
mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah
mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan
Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat
dari-Nya.
Jika orang kafir
tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan
sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya
menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana
kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin
mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di
dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat
mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau
pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada
bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang
dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan
hidupnya.
Sebahagian kaum
muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat.
Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi
menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat
lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka.
Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka
sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.
Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan
gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang
paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri.
Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani
seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya
mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah
duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t
seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya
yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang
kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang
sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang
biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia
berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan
mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan
yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar
kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada
keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang
kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar.
Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk
mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan
pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika
mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan
berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t.
Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk
mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara
bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada
ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan
sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang
menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan
ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada
ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan
keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya,
sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih
tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya
kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah
yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 :
Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam
makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang
dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah
kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah
s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t
berfirman:
“Ini ialah dari
limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka
faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 :
Surah an-Naml )
Dan tiadalah
kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang
dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan
sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya
(dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat
30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya
adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada
takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan
makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam
ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi
bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal
ibadat.
Orang yang masuk ke
dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan
sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu.
Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan
menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia
melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah
s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap
amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab.
Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya
adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga
kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali
dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil,
serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana
dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang
sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan
berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
KEINGINAN KAMU
UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA ASBAB
ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK BERASBAB PADAHAL
ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN DARI
SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat 1
menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung kepada amal
adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan alam
asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau mata
akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab yang
mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang
menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal
melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat. Kerapian
sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil manfaat daripada
anasir dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir yang boleh
memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan
anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya. Manusia boleh membuat
ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan
lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan anasir alam berada dalam
suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat yang
padu.
Allah s.w.t
mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk kemudahan manusia
menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal dan pancaindera manusia
mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan perjalanan sebab musabab. Hasil
daripada pemerhatian dan kajian akal itulah lahir berbagai-bagai jenis ilmu
tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains, astronomi, kedoktoran,
teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu itu dibentuk berdasarkan
perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian
sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum sebab-akibat.
Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil (akibat).
Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta
bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab
musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat manusia lupa kepada
kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan bahawa
akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut campur
dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya ‘mempertuhankan’ sesuatu
kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya. Allah s.w.t tidak suka jika
hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan
anasir alam dan hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan
kepada anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang
meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum tersebut.
Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang merombak hukum
sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab
musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya. Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut
dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa membakar yang ada pada api
tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari
jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan banyak lagi yang didatangkan oleh Allah
s.w.t, merombak keberkesanan hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia
tentang hakikat bahawa kekuasaan Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam
maya dan hukum sebab-akibat. Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya
membuat manusia mengenal Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan.
Sebahagian daripada manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab
musabab.
Sebagai manusia
yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi
mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka sentiasa
melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut keberkesanan pada
sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab berjaya mengeluarkan akibat
menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai kekuasaan Allah s.w.t
yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang
mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada
di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit
dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami
(Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu
sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah
menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda
kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : Surah al-Baqarah )
Orang yang melihat
kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak
meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah
s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini
dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid,
seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebab-akibat. Ahli
tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak
dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang
berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid
dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli
asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan
Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah
s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan
kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu memaksa diri mereka
berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi rosak. Ahli
asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas dan perlu melindungi
keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak (berbuat baik untuk diperlihatkan
kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), takbur (sombong dan membesar
diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih
cerdik daripada orang lain) dan sama’ah (membawa perhatian orang lain kepada
kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara bercerita mengenainya, agar orang
memperakui bahawa dia adalah orang baik). Jadi, ahli asbab perlu memelihara
kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas melakukannya. Suasana hati ahli
tajrid berbeza daripada apa yang dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab
memperingatkan dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas
kerana mereka tidak bersandar kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa
juga kebaikan yang keluar daripada mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang
mengurniakan kebaikan tersebut. Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya
ikhlas atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat
diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas,
padanya masih tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub
(merasakan diri sendiri sudah baik) dan sama’ah. Apabila tangan kanan berbuat
ikhlas dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan
kanan itu benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan
melupakan kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin
diberi harta oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan
itu dengan mengatakan yang dia sudah kaya. Orang tajrid yang diberi ikhlas oleh
Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika harta orang
miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah hak Allah s.w.t.
Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan dengan ikhlas,
orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir sekalian urusan. Ahli
asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam penyerahan.
Kebaikan yang
dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat kepada Allah
s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang dilakukan oleh ahli
tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan manusia yang tidak
memandang kepada diri mereka dan kepentingannya. Ahli asbab melihat kepada
keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula melihat kepada keberkesanan
kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t. Dari kalangan ahli tajrid, Allah s.w.t
memilih sebahagiannya dan meletakkan kekuatan hukum pada mereka. Kumpulan ini
bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat, malah
mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka adalah nabi-nabi
dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan wali-wali
dianugerahkan kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan merombak keberkesanan hukum
sebab-akibat.
Di dalam kumpulan
wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal hukum sebab-akibat itu
terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, Abu Hasan
as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan lain-lain. Cerita tentang
kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang yang cenderung kepada
tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan aulia Allah s.w.t
tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat perhatian adalah bahagian
kekeramatan. Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku kehidupan yang
zuhud dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul anggapan bahawa jika
mahu memperolehi kekeramatan seperti mereka mestilah hidup sebagaimana mereka.
Orang yang berada pada peringkat permulaan bertarekat cenderung untuk
memilih jalan bertajrid iaitu membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya
kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan
pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta
disedekahkan kerana dia melihat Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat
demikian. Ibrahim bin Adham telah meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak,
rakyat dan negerinya lalu tinggal di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak
demikian tidak dapat bertahan lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan
kumpulan tarekatnya dan kembali kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali
kepada kehidupan yang lebih buruk daripada keadaannya sebelum
bertarekat dahulu kerana dia mahu menebus kembali apa yang telah
ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat. Keadaan yang demikian berlaku akibat
bertajrid secara melulu. Orang yang baharu masuk ke dalam bidang latihan
kerohanian sudah mahu beramal seperti aulia Allah s.w.t yang sudah
berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampak semua yang dimilikinya
secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang boleh
menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya berputus-asa. Apa yang harus
dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam
yang tinggi secara melulu. Seseorang haruslah melihat kepada dirinya dan
mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika masih di
dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai dengan hukum
sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula
berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab perlu
berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan.
Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi kesan kepada dirinya.
Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan juga tindakan yang
menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada dirinya dan orang
lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan sebagai ahli asbab
ialah apabila urusannya dan tindakannya yang menurut kesesuaian hukum
sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap tuntutan
agama. Dia tetap berasa rengan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak gelojoh
dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap orang lain. Apabila
ahli asbab berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan maju dan berkembang
dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang boleh menyebabkan dia
berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi
sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara selamat. Akhirnya dia mampu
untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula orang yang
dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya adalah ahli asbab yang
berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana orang ramai. Kemungkinannya
kehidupan seperti itu tidak menambahkan kematangan rohaninya. Perubahan jalan
perlu baginya supaya dia boleh maju dalam bidang kerohanian. Oleh itu takdir
bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan
di mana hukum sebab-akibat tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan
masalahnya. Sekiranya dia seorang raja, takdir mencabut kerajaannya.
Sekiranya dia seorang hartawan, takdir menghapuskan hartanya. Sekiranya
dia seorang yang cantik, takdir menghilangkan kecantikannya itu. Takdir
memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat
permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai ahli asbab, dia
berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk mempertahankan apa yang dimiliki
dan dikasihinya. Jika dia tidak terdaya untuk menolong dirinya dia akan meminta
pertolongan orang lain. Setelah puas dia berikhtiar termasuklah bantuan orang
lain namun, tangan takdir tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang
terjadi ke atas dirinya. Apabila dia sendiri dengan dibantu oleh orang lain
tidak mampu mengatasi arus takdir maka dia tidak ada pilihan kecuali berserah
kepada takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu
agar Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat
beribadat dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap
Tuhan akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah dimilikinya dan
dikasihinya. Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia
benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah
harapannya untuk memperolehinya kembali. Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia
tidak lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya
kepada Tuhan. Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi
ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah
s.w.t yang bertajrid. Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah
s.w.t sendiri akan menguruskan kehidupannya. Allah s.w.t menggambarkan suasana
tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah)
berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang
memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )
Makhluk Allah s.w.t
seperti burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat simpanan
makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Allah s.w.t.
Jaminan Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda Allah s.w.t
meletakkan seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t
memudahkan baginya rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya. Jiwanya
tetap tenteram sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika
menerima bala ujian.
Sekiranya ahli
tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka ini bermakna dia
melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk . Ini menunjukkan
akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. Tindakan yang jahil
itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang terus keberkatan yang Allah s.w.t
kurniakan kepadanya. Misalnya, seorang ahli tajrid yang tidak mempunyai
sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang ramai kepada jalan Allah s.w.t,
walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun, rezeki datang kepadanya dari
berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa dia meminta-minta atau
mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan kepada murid-muridnya sangat
berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti makbul doa dan ucapannya
biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia meninggalkan suasana bertajrid lalu
berasbab kerana tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya maka
keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak
seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan
kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba
haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan
kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah Maha
Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap
makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Keinginan kepada
pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di dalamnya tersembunyi
rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini merangkumi kehendak,
cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu hatinya setelah lama
hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk meninggalkan suasana asbab
dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah lama berada dalam suasana
tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, ikut kembali kepadanya
adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan. Nafsu mencuba untuk bangkit
semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah menyedari bahawa keinginannya
untuk berpindah kepada makam tajrid itu mungkin secara halus digerakkan oleh
ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya. Orang tajrid pula perlu sedar
keinginannya untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong oleh nafsu rendah
yang masih belum berpisah dari hatinya. Ulama tasauf mengatakan seseorang
mungkin dapat mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu peringkat pertama tidak
kunjung padam. Oleh yang demikian perjuangan atau mujahadah mengawasi nafsu
sentiasa berjalan.
KEKUATAN SEMANGAT
(AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang
pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang
amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana
hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati
kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada
keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka
pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi
kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat.
Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk
kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat
yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu
mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian
yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah
s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman.
Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia
diberi pengertian mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang
makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada
Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang
melulu.
Hikmat ke tiga ini
pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala
sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid
melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu
sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan
segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t.
Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan
yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu
dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh
Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab
daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang
menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati
daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat,
akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan
dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai
hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita,
angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan
mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu
inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan
sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam banyak
perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh
sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Dalam proses
memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu
akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui
kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat
kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila
nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya
kepada takdir.
Beriman
kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan
menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir
tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana disebalik
kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan
terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu
masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa
makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan
kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan
dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia
memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat
bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki
bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab
Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya,
Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan
Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. {
Maksud Hadis }
Pandangan kita
sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh
istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan
seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang
halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan
Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita
merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah
perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita
itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya
terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan
kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah
s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa
kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri
kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang
menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan
yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah
s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t.
Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal
dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang
terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada
sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak
juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab
(pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Maha Berkat
(serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan
akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat
1 : Surah al-Mulk )
Dan Yang telah
mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk
(ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah
al-A’laa)
Dan Kami
jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air
(langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah
ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )
Segala perkara,
tidak kira apa istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan
Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa,
kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t.
Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang
mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan
ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir.
Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir
untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang
didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku
kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir
yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu
nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan
urusan Allah s.w.t pada azali.
Kami datang dari
Allah dan kepada Allah kami kembali.
Segala perkara
datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa
campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang
mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat
urusan-Nya.
Apabila sudah
difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir
yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa
bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri
sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama
ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya.
Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa
juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia
tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya
baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari
Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia
mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan
bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan
Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak
sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang
dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia
bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.
Ahli tajrid
pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan
Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya
atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai
dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga
ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga
masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga
jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu
sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.
Persoalan
takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan
daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang.
Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan
beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk
menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang
yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang
sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama
itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia
mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh
mengeluarkan kacang, tidak benda lain.
Kajian akal
boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang.
Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta
malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah
‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang,
tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal
pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana
kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah
dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat
kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang
mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga
kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran
Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja
yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.
Suasana
pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia
pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah
menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada
pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan
untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan
tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat
Manusia.
Pada Hakikat
Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan
segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat
Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali”
pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu
menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat
yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan
Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.
Dan katakan: “ Roh
itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )
Pentadbiran Allah
s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang
berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali
lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal
oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi
kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta
menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.
TENANGKAN
HATIMU DARI URUSAN TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH SELAIN-MU TENTANG URUSAN
DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU CAMPUR TANGAN.
Kita bertauhid
melalui dua cara, pertama bertauhid dengan akal dan keduanya bertauhid dengan hati.
Bidang akal ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada
dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada
hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok, bertolak
ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau penyelesaiannya.
Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya berubah-ubah menurut pendapat baharu
yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya.
Oleh sebab sifat ilmu yang demikian orang awam yang berlarutan membahas tentang
sesuatu perkara boleh mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu
perkara yang mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar.
Jika persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan
menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit.
Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah membuktikan kebenaran apa
yang diimani. Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus
disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman. Kalam Hikmat keempat di atas
membimbing ke arah itu agar iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama nafsu
dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri
secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam
perkara ghaib. Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau basirah. Mata
hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu. Nafsu adalah
kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam keghaiban.
Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk
melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh
kerana roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila
sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya
bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah Yang
Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan
keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-Nya kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah
dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang
hari pertemuan, - ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )
Dan demikianlah
Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang
menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui
(sebelum diwahyukan kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga
mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang
menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi
petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang
memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah
jualah kembali segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Apabila cahaya roh
berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib.
Penyaksian mata hati membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan
sebenar-benarnya.
Allah s.w.t
telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Dia
berfirman:
Pada hari ini,
Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada
kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ( Ayat
3 : Surah al-Maa’idah )
Umat Islam
adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah menyempurnakan
nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam. Allah s.w.t menjamin
juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama mereka. Jaminan Allah
s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut keredaan Allah s.w.t untuk
tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus berjalan mengikut
landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang lengkap
mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin. Islam telah
menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat, bagaimana mahu
bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu melakukan apa-apa.
Segala peraturan dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil
hingga kepada yang paling besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara
berhubungan sesama manusia, cara membahagikan harta pusaka, cara mencari dan
membelanjakan harta, cara makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara
memasuki jamban, cara hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara
menyempurnakan mayat dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam
tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala
penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada Islam itu
sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah besarnya nikmat yang
dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah menjiwai Islam untuk merasai
nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita ialah melakukan apa yang
telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur atau mentadbir adalah hak
Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak
dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur peraturan tersebut atau
membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk
kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka
yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah
dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya.
Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah pada
masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata yang
kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang
mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan
Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan tidak
membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku adalah menurut
apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang terbaik dan dijamin oleh
Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat bahawa Allah s.w.t yang mentadbir
sementara sekalian hamba berkewajipan taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur
dalam urusan-Nya.
Mungkin
timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal fikiran,
tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha membaiki
kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa
tadbir?
Allah s.w.t
menceritakan tentang tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun
mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang
saudara kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu
dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan
rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil
saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh
Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang
Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di
atasnya yang lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan
kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana
gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi Yusuf a.s,
dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa saudaranya, Bunyamin,
tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada zahirnya diatur oleh Nabi
Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan Dia yang mengatur muslihat
tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina
oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah
kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang dilakukan
oleh manusia.
Rasulullah s.a.w
sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan
mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak
memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan
penyerahan kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah
seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak
itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang
diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat
otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada
otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai
dengan al-Quran dan as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk
mengasingkan pendapat dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam
menegaskan bahawa sekiranya tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti
tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang
mestilah menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya
menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya
melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila apa
yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa kejayaan itu
adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t. Jika apa yang
diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib tunduk kepada
aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah
s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri
Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan-Nya.
KERAJINAN KAMU
UNTUK MEMPEROLEHI APA YANG TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU DI SAMPING KECUAIAN KAMU
TERHADAP KEWAJIPAN YANG DIAMANATKAN MENUNJUKKAN BUTA MATA HATI.
Hikmat 5 ini
merupakan lanjutan kepada Hikmat yang lalu. Imam Ibnu Athaillah menceritakan
kesan daripada hijab nafsu dan hijab akal yang menutup hati daripada melihat
kepada takdir yang menjadi ketentuan Allah s.w.t. Ada tiga perkara yang
dikemukakan untuk direnungi:
1: Jaminan
Allah s.w.t.
2: Kewajipan
hamba
3: Mata hati yang
mengenal jaminan Allah s.w.t dan kewajipan hamba.
Penyingkapan
rahsia mata hati adalah penting bagi memahami Kalam Hikmat di atas. Mata hati
ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki
oleh hati. Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah
‘mata dalam’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir,
iaitu yang dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging,
darah, tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini
berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri
zahir memperolehi kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan
aliran nyawa dalam bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan
mulut. Jika darahnya dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang
keluar masuk itu disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana
sekalian bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini
jika disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa
serta deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya
ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya
timbang atau akal fikiran.
Diri batin
juga mempunyai susunan yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib.
Ia juga mempunyai tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan
bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati
rohani atau hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat
dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib
yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia
ketuhanan. Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia
juga yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan
sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah
urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.
Katakan: “Roh
itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan
sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
Tubuh
seni atau hati seni juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan
pemahaman dan pengetahuan. Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam
golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna
bagi pengajian tentang ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk
mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan,
pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan
ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau
diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini
dinamakan basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang
dimiliki oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud
atau menyaksikan kepada yang ghaib.
Apa yang ada di
sekeliling kita boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan
mata zahir dan yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku
gula, mata kasar melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan
pada lidah terasalah manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah
memandang jauh kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung
jauh itu sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang
kepada hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan
tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Jika
mata zahir melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya.
Jika mata zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi,
mata zahir mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal
dan membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi
setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap
sebagai mata hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu
melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.
Kekuatan
suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih
dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan
sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di
sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada
dunia. Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang
pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan
sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia
membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya
atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan
ditempatkan di dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata
hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara
keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia
itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara
terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang
biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah
seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan
berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat
”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia
dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan
dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan.
Mata hati
yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi
hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian
membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak
membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli
maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak
mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian
dan kiamat. Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi
kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi
Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang
Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa
menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat yang ditemui oleh mata hati yang menyelami
Alam Barzakh, bukan melihat roh orang mati di dalam kubur.
Mata hati
berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada
keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat
Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi
larangan-larangan-Nya. Amanat itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk
diserahkan kembali kepada Allah s.w.t yang meletakkan amanat tersebut kepada
mereka. Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal
salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah
hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t.
Dialah Tuhan
yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya
(untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu)
sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil
pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada
Allah). ( Ayat 13 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t
berfirman dalam Hadis Qudsi:
Hamba-Ku, taatilah
semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.
Allah s.w.t sebagai
Tuhan, Tuan atau Majikan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk
memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan
mentaati Tuan mereka. Rezeki telah dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk
mendapatkan rezeki tersebut seseorang hamba hanya perlu bertindak sesuai dengan
makamnya. Jika dia seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan
jangan iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia
ahli tajrid maka bertawakallah kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi
kelewatan atau kekurangan dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun
seseorang hamba itu berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh
mentaati Allah s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan
larangan-Nya. Hamba yang terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin
terhadap jaminan Allah s.w.t dan tidak mencuaikan kewajipannya. Hamba ini akan
melipat-gandakan kegiatan dan kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih
tanpa mencurigai jaminan Allah s.w.t tentang rezekinya.
Hamba yang
buta mata hatinya akan berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di
dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan
tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan
daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya
usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan
untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha
yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.
Mata hati
melihat kepada yang hak dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan
kebendaan yang nyata menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk
menguatkan keraguan yang tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan
keyakinan. Jika nafsu dan akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang
ghaib akan terhijab. Orang yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan
nafsu dan akalnya akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan
keraguan sentiasa berperang dalam jiwanya.
JANGANLAH
KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH
BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH
MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA UNTUK
KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA,
TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.
Apabila kita
berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu
memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai
kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita
maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan
ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan
hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon
dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat
kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam
bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi
kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian
tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal
memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah
s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak,
doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Dan Allah berkuasa
melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )
Semuanya itu tunduk
di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 : Surah al-Baqarah )
Ia tidak boleh
ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya
kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )
Sebahagian besar
daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan
amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau
setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar
dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat
tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau
wajib membayar upahnya!” Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau
Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka
berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada
sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan
pemberian Tuannya.
Doa adalah
penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta
pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada
kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak
segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri
mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah
tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri
kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya
daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha
Penyayang lagi Maha Mengetahui.
Tidakkah Allah
yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia
Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. (
Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dialah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa sahaja ayat
keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau
tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t Maha
Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib
dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya
yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau
yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan
sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa.
Seseorang
hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya
kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang
disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan
berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang
permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t
menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang
dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak
menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang
telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau
kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah
kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:
Bertanyalah
(wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?”
Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas
diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Orang yang beriman
selalu mendoakan:
“Wahai Tuhan kami,
berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami
dari azab neraka”. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Hamba yang mendapat
rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk
kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis
doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan
kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak
menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang
kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang
menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya
sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.
Oleh sebab itu doa
adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah
kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha
Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah
hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat
tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui.
Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku
dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku
menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku
ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya.
Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan
Sendiri”.
Dan
Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang
memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan
kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain
dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa
yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }
JANGAN SAMPAI
MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI ALLAH KERANA TIDAK TERLAKSANA APA
YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN TELAH TERTENTU (TIBA) MASANYA,
SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK MEROSAKKAN MATA HATI KAMU DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA
SIR (RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.
Doa dan janji Allah
s.w.t berkait rapat. Allah s.w.t menjanjikan untuk menerima semua doa. Hamba
sudah sangat kuat dan kerap berdoa. Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada
sesuatu musibah. Masa musibah itu sampai sudah tiba tetapi keselamatan
daripadanya tidak tiba. Timbul keraguan dalam hati hamba itu tentang
janji-janji Allah s.w.t.
Sebahagian orang
beriman diuji dengan penerimaan atau penolakan doa dan sebahagian yang lain
diuji dengan tertunai atau tertahan janji Allah s.w.t. Janji Allah s.w.t ada
dalam bentuk umum dan ada dalam bentuk khusus. Janji umum banyak terdapat di
dalam al-Quran seperti janji syurga terhadap orang yang berbuat kebajikan,
janji neraka terhadap orang yang derhaka, janji ketinggian darjat bagi orang
yang berjihad pada jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di atas muka bumi
terhadap orang yang beriman dan beramal salih dan lain-lain lagi. Di dalam
surah an-Nisaa’ ayat 95 Allah s.w.t menjanjikan ganjaran yang besar
kepada orang yang berjihad pada jalan-Nya. Dalam surah an-Nur ayat 55 Allah
s.w.t menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih bahawa mereka akan
dijadikan khalifah di bumi, Dia akan teguhkan agama mereka dan Dia akan
hilangkan ketakutan mereka.
Banyak lagi
janji Allah s.w.t yang boleh ditemui di dalam al-Quran. Janji-janji Allah s.w.t
secara umumnya berkaitan dengan amal, sesuai dengan sunnatullah yang menguasai
perjalanan kehidupan. Ada juga janji secara khusus kepada orang-orang tertentu,
misalnya melalui mimpi atau suara ghaib. Orang yang beriman dengan Allah s.w.t
percaya kepada janji-janji-Nya. Janji Allah s.w.t menjadi pendorong kepada mereka
untuk bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada jalan-Nya. Allah s.w.t
tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya. Di dalam golongan yang
percaya kepada janji-janji Allah s.w.t itu ada sebilangan yang berpenyakit
seperti yang dihidapi oleh sebilangan orang yang berdoa kepada Allah s.w.t.
Orang yang berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang percaya kepada
janji Allah s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana Allah s.w.t berjanji
memberinya sesuatu menurut amalannya.
Hikmat ketujuh
mengaitkan janji Allah s.w.t dengan mata hati dan Nur Sir (Rahsia atau
batin). Persoalan mata hati telah disentuh pada Hikmat ke lima. Penyingkapan
rahsia mata hati menemukan kita dengan persoalan diri zahir, diri batin dan
seterusnya kepada persoalan roh. Suluhan mata hati membawa kepada pengenalan
terhadap Alam Barzakh dan keabadian. Mata hati yang kuat tidak berhenti setakat
Alam Barzakh, malah ia menghala kepada peringkat alam yang lebih tinggi yang
dinamakan Alam Malakut Atas. Pandangan mata hati seterusnya sampai kepada kulit
alam yang dinamakan Arasy Yang Meliputi. Semua makhluk Allah s.w.t menghuni
ruang yang di dalam atau dibatasi oleh kulit atau kerangka alam, iaitu Arasy.
Tidak ada mahluk yang wujud di luar dari kulit alam. Walaupun kulit alam
merupakan kejadian Tuhan yang paling luar namun, mata hati tidak berhenti
setakat itu. Mata hati terus meneroka ‘di luar’ dari kulit alam, yang dipanggil
Wujud ketuhanan. Di sini timbul persoalan berat dan rumit untuk dihuraikan.
Semua kejadian berada di dalam kulit alam. Kulit alam adalah yang terakhir.
Apabila sampai kepada kulit alam tidak boleh lagi dikatakan wujud alam
ketuhanan di luar, selepas, di sebalik dan istilah-istilah lain, kerana tidak
ada apa-apa lagi. Kewujudan ketuhanan bukanlah satu jenis alam lain. Tidak
boleh dikatakan wujud alam ketuhanan selepas alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri
Dengan Sendiri, tidak menempati ruang. Jika demikian persoalannya bagaimanakah
yang dikatakan ketuhanan sedangkan kita sudah menjelajah ke seluruh alam maya
namun, Allah s.w.t tidak juga ditemui?
Antara alam
yang sementara dengan alam abadi terdapat Alam Barzakh. Barzakh adalah
sempadan. Barzakh itulah yang menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya,
barzakh bagi laut dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai
adalah tawar. Air pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian masin
dengan tawar yang dinamakan payau. Payau bukan masin dan bukan lain daripada
masin. Payau juga bukan tawar dan bukan lain daripada tawar. Kuala bukan laut dan
bukan sungai dan bukan juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu lihat laut
dan sungai dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan maka lihatlah
kepada kuala. Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus maka rasailah air
payau.
Jika terdapat
barzakh di antara makhluk dengan makhluk, terdapat juga barzakh di antara Tuhan
dengan makhluk. Barzakh inilah yang menjadi penghubung di antara Tuhan dengan
hamba. Tanpa barzakh ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang
diciptakan Tuhan kerana tidak ada talian atau jambatan yang menghubung. Barzakh
di antara Allah s.w.t dengan hamba itu dinamakan Sir atau Rahsia, iaitu Rahsia
Allah s.w.t, yang hanya Allah s.w.t yang mengetahui hakikatnya yang sebenar.
Rahsia inilah yang memungkinkan ada hubungan di antara Pencipta dengan yang di
cipta. Sir atau Rahsia itu memancarkan nurnya kepada mata hati. Mata hati yang
bersuluhkan Nur Sir (rahsia ketuhanan) akan mendapat pengenalan tentang
Sir dan mengalami suasana tauhid peringkat yang tertinggi. Apabila hakikat
Sir ditemui nyatalah firman Allah s.w.t:
Dan Kami adalah
lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, - ( Ayat 16 : Surah Qaaf
)
Dan Ia tetap
bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah
al-Hadiid )
“Padahal Allah
yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah
as-Saaffaat )
Dan kamu
tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan
cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh
alam. ( Ayat 29 : Surah at-Takwiir)
Tiada daya dan
upaya kecuali beserta Allah.
Apa yang ada pada
kita semuanya adalah kurniaan dari Allah s.w.t. Kemahuan kita untuk melakukan
amal salih datangnya dari Iradat Allah s.w.t, tanpa Iradat Allah s.w.t kita
akan menjadi dungu, tidak berkemahuan. Apabila kita melakukan amal kebaikan,
kita tidak terlepas daripada menggunakan daya dan upaya yang datangnya dari
Allah s.w.t. Tanpa Kudrat Allah s.w.t kita tidak mampu bergerak. Kebolehan kita
untuk berdoa dan beramal adalah kurniaan daripada Allah s.w.t.
Mereka mengira
dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam
(tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Jangan kamu
mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan
kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan
budi-Nya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang
dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan
imannya). ( Ayat 17 : Surah al-Hujuraat )
Kehendak
dan perbuatan kita adalah anugerah daripada Allah s.w.t. Jadi, apakah hak kita
untuk menuntut Allah s.w.t dengan doa dan amal kita. Memang benar Allah s.w.t
berjanji untuk mengabulkan semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan.
Tetapi, tidak ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah
s.w.t kembali kepada diri-Nya Sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut janji Allah
s.w.t kerana andainya Dia menuntut kamu dengan amanah yang dipertaruhkan kepada
kamu nescaya semua amalan kamu akan hancur berterbangan seperti debu, tidak ada
walau sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya apabila kamu
dihadapkan kepada keadilan-Nya.
Lantaran itu
berteduhlah di bawah payung rahmat dan keampunan-Nya, jangan diungkit-ungkit
tentang amal kamu dan janji-Nya. Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w yang telah
menerima janji Allah s.w.t iaitu baginda s.a.w telah bermimpi memasuki kota Makkah.
Kaum muslimin percaya bahawa mimpi Rasulullah s.a.w adalah mimpi yang benar dan
mereka yakin bahawa itu adalah janji Allah s.w.t kepada Rasul-Nya, yang Dia
mengizinkan mereka bersama-sama memasuki kota Makkah sekalipun musyrikin
Quraisy masih menguasai kota tersebut. Kaum muslimin berangkat dari Madinah ke
Makkah. Rombongan mereka dihadang sebelum sampai di Makkah. Kaum musyrikin
enggan membenarkan kaum muslimin memasuki Makkah. Ekoran dari peristiwa itu
termetrailah Perjanjian Hudaibiah. Rasulullah s.a.w bersetuju agar kaum
muslimin tidak memasuki Makkah pada tahun itu. Saidina Umar al-Khattab r.a
yakin akan mimpi Rasulullah s.a.w. Beliau r.a juga percaya bahawa mimpi
Rasulullah s.a.w itu adalah janji Allah s.w.t mengizinkan mereka memasuki kota
Makkah. Beliau r.a juga yakin bahawa lantaran janji Allah s.w.t adalah benar
maka bertegas memasuki Makkah walaupun dengan cara berperang adalah tindakan
yang benar. Beliau r.a menganjurkan agar berperang supaya kebenaran mimpi
Rasulullah s.a.w dan kebenaran janji Allah s.w.t menjadi kenyataan. Iman Umar
r.a yang sangat mendalam membuatnya mahu maju terus menurut petunjuk yang
sampai kepada beliau r.a. tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri. Saidina Abu
Bakar as-Siddik yang Nur Sirnya lebih sempurna daripada Nur Sir Umar r.a
bersikap menyetujui tindakan Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah.
Melalui suluhan Nur Sirnya Abu Bakar r.a dapat menyaksikan apa yang terlindung
dari pandangan mata hati Umar r.a.
Kemudian
ternyata perjanjian tersebut banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin.
Ternyata kebijaksanaan Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah dan
kebenaran pandangan mata hati Abu Bakar r.a melalui pancaran Nur Sirnya. Sesuai
dengan Perjanjian Hudaibiah, pada tahun berikutnya kaum muslimin dapat memasuki
kota suci Makkah secara aman. Benarlah apa yang dimimpikan oleh
Rasulullah s.a.w dan benarlah janji Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menerima
janji Allah s.w.t sebagai satu kurniaan yang wajib diyakini dengan cara
bertawakal kepada Allah s.w.t dalam pelaksanaannya. Bila terjadi sesuatu yang
pada zahirnya menghalang pelaksanaan janji Allah s.w.t itu Rasulullah s.a.w
tidak menagih Allah s.w.t dengan janji tersebut, sebaliknya baginda s.a.w
mengembalikannya kepada Allah s.w.t. Sebagai balasan terhadap kerelaan menerima
takdir Allah s.w.t maka Allah s.w.t kurniakan pula Perjanjian Hudaibiah
yang banyak membantu perkembangan dakwah Islam. Allah s.w.t juga tidak
sekali-kali melupakan janji-Nya mengizinkan kaum muslimin menziarahi tanah suci
Makkah, dengan rahmat-Nya kaum muslimin memasuki kota Makkah pada tahun
berikutnya dalam suasana aman. Jadi, apabila janji Allah s.w.t
dikembalikan kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t melaksanakannya.
Peristiwa di atas
memberi pengajaran kepada kita tentang Sir. Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a
melebihi sahabat-sahabat yang lain lantaran Sirnya, iaitu Rahsia pada hati
nuraninya yang menghubungkannya dengan Allah s.w.t. Sir yang menguasainya
itulah yang menjadikannya as-Siddik. Beliau r.a dapat membenarkan kebenaran
Nabi Muhammad s.a.w tanpa usul. Beliau r.a membenarkan peristiwa Israk dan
Mikraj ketika kebanyakan kaum Quraisy menafikannya. Abu Bakar r.a bukanlah
seorang dungu yang bertaklid secara membuta tuli. Tetapi, apa yang sampai
kepadanya diakui oleh Sirnya yang memperolehi pengesahan daripada Allah s.w.t.
Cahaya kebenaran yang keluar daripada Rasulullah s.a.w dan cahaya kebenaran
yang keluar dari Sir Abu Bakar r.a adalah sama, sebab itulah Abu Bakar r.a
membenarkannya tanpa usul dan tanpa meminta bukti. Bukti apa lagi yang diperlukan
apabila Sir telah mendapat jawapan daripada Allah s.w.t. Sir atau Rahsia Allah
s.w.t itulah yang tidak bercerai tanggal daripada Allah s.w.t, sentiasa
menghadap kepada Allah s.w.t dan mendengar Kalam Allah s.w.t. Sir itulah yang
mengenal Allah s.w.t
Kemurnian Sir Abu
Bakar as-Siddik r.a ternyata lagi ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Umar r.a
yang dikuasai oleh iman yang sangat kuat yang melahirkan cinta yang mendalam
terhadap Rasulullah s.a.w, Kekasih Allah s.w.t, dikuasai kecintaan itu, beliau r.a
mahu memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah s.a.w sudah
wafat. Tetapi, Abu Bakar r.a, yang kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w
mengatasi kecintaan Umar r.a mampu mengatakan, “Sesiapa yang menyembah Muhammad
maka sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah s.w.t maka
Allah s.w.t tidak akan wafat selama-lamanya!” Begitulah murninya cahaya atau
nur yang diterima oleh Abu Bakar r.a di dalam hatinya yang dipancarkan
oleh Sir. Tidak salah jika dikatakan sekiranya mahu memahami hakikat Sir maka
fahamilah diri Saidina Abu Bakar as- Siddik r.a. Mengenali beliau r.a membuat
seseorang mengenali tanda-tanda Sir.
Kalam Hikmat
ketujuh ini memberi panduan untuk memahami hakikat Sir. Tanda seseorang tidak
mendapat sinaran Nur Sir ialah dia meragui janji-janji Allah s.w.t lantaran dia
mentakrif maksud janji Allah s.w.t menurut seleranya sendiri. Bagaimana
kedudukan kita terhadap janji Allah s.w.t begitulah keadaan hati kita berhubung
dengan Rahsia Allah s.w.t atau Sir.
APABILA TUHAN
MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN HIRAUKAN TENTANG AMALMU
YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH S.W.T TIDAK MEMBUKA JALAN TADI MELAINKAN DIA
BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.
Kalam-kalam Hikmat
yang dihuraikan terlebih dahulu mengajak kita merenung secara mendalam tentang
pengertian amal, Qadak dan Qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan janji Allah s.w.t
, yang semuanya itu mendidik rohani agar melihat kecilnya apa yang datangnya daripada
hamba dan betapa besar pula apa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Rohani yang
terdidik begini akan membentuk sikap beramal tanpa melihat kepada amalan itu
sebaliknya melihat amalan itu sebagai kurniaan Allah s.w.t yang wajib
disyukuri. Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan kepada
Allah s.w.t tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat
daripada Allah s.w.t.
Orang yang
hatinya suci bersih akan menerima pancaran Nur Sir dan mata hatinya akan
melihat kepada hakikat bahawa Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan
Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika Dia mahu ditemui
dan dikenali. Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada
Allah s.w.t. Tidak ada jalan untuk mengenal Allah s.w.t. Allah s.w.t hanya
dikenali apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’. Penemuan kepada hakikat
bahawa tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat merupakan
puncak yang dapat dicapai oleh ilmu. Ilmu tidak mampu pergi lebih jauh dari
itu. Apabila mengetahui dan mengakui bahawa tidak ada jalan atau tangga yang
dapat mencapai Allah s.w.t maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu
dan amalnya, apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini
seseorang itu tidak ada pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah
s.w.t.
Bukan senang
mahu membulatkan hati untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Ada orang
yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu tidak
terbuka maka semangatnya akan menurun hingga boleh membawa kepada berputus asa.
Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah s.w.t bahawa Dia akan membuka
jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya. Kuatlah dia beramal
agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan Allah s.w.t sebagaimana janji-Nya.
Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat. Bila
pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan berasa ragu-ragu.
Dalam
perjalanan mencari makrifat seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan
menjadi ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa jika dia masih bersandar
kepada sesuatu selain Allah s.w.t. Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah
kepada Allah s.w.t, hanya Dia yang memiliki kuasa Mutlak dalam menentukan
siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya. Ilmu dan amal
hanya digunakan untuk membentuk hati yang berserah diri kepada Allah s.w.t.
Aslim atau menyerah diri kepada Allah s.w.t adalah perhentian di hadapan pintu
gerbang makrifat. Hanya para hamba yang sampai di perhentian aslim ini yang
berkemungkinan menerima kurniaan makrifat. Allah s.w.t menyampaikan hamba-Nya
di sini adalah tanda bahawa si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya.
Aslim adalah makam berhampiran dengan Allah s.w.t. Sesiapa yang sampai kepada
makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan tanpa
menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya. Sekiranya
Allah s.w.t kehendaki dari makam inilah hamba diangkat ke Hadrat-Nya.
Jalan menuju
perhentian aslim iaitu ke pintu gerbang makrifat secara umumnya terbahagi
kepada dua. Jalan pertama dinamakan jalan orang yang mencari dan jalan kedua
dinamakan jalan orang yang dicari. Orang yang mencari akan melalui jalan di
mana dia kuat melakukan mujahadah, berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat
melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya sibuk melaksanakan
tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat
tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada
dirinya. Kemudian diisikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya
perjalanan nafsu dan melatihkan dirinya agar nafsunya menjadi bertambah suci
hingga meningkat ke tahap yang diredai Allah s.w.t. Inilah orang yang
diceritakan Allah s.w.t dengan firman-Nya:
Dan orang-orang
yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan
mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan
bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki
amalannya. ( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )
Wahai manusia!
Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat - (menjalankan keadaan hidupmu) dengan
sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian
engkau tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatit
semuanya). (Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )
Orang yang
bermujahadah pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu
yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah
s.w.t menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka
kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan reda
dengan lakuan Allah s.w.t. Dia dibawa hampir dengan pintu gerbang makrifat dan
hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke
Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak.
Golongan orang yang
dicari menempuh jalan yang berbeza daripada golongan yang mencari. Orang yang
dicari tidak cenderung untuk menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup
selaku orang awam tanpa kesungguhan bermujahadah. Tetapi, Allah s.w.t telah
menentukan satu kedudukan kerohanian kepadanya, maka takdir akan mengheretnya sampai
ke kedudukan yang telah ditentukan itu. Orang dalam golongan ini biasanya
berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan
kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak. Kejadian
yang menimpanya selalunya berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya dengan
sesuatu yang menjadi penghalang di antaranya dengan Allah s.w.t. Jika dia
seorang raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu mendekati Allah
s.w.t, maka Allah s.w.t mencabut kerajaan itu daripadanya. Terlepaslah dia
daripada beban tersebut dan pada masa yang sama timbul satu keinsafan di dalam
hatinya yang membuatnya menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan sepenuh
hatinya. Sekiranya dia seorang hartawan takdir akan memupuskan hartanya
sehingga dia tidak ada tempat bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia
berkedudukan tinggi, takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut ialah
kemuliaan yang dimilikinya, digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak
ada tempat untuk dituju lagi kecuali kepada Allah s.w.t. Orang dalam golongan
ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan daripada makhluk sehingga
mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu mereka kembali dengan penuh
kerendahan hati kepada Allah s.w.t dan timbullah dalam hati mereka suasana
penyerahan atau aslim yang benar-benar terhadap Allah s.w.t. Penyerahan yang
tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk menjadikan mereka reda dengan apa
sahaja takdir dan lakuan Allah s.w.t. Suasana begini membuat mereka sampai
dengan cepat ke perhentian pintu gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka
masih sedikit. Orang yang berjalan dengan kenderaan bala bencana mampu sampai
ke perhentian tersebut dalam masa dua bulan sedangkan orang yang mencari
mungkin sampai dalam masa dua tahun.
Abu Hurairah
r.a menceritakan yang beliau r.a mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya:
Allah berfirman: “
Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh kepada
pengunjung-pengunjungnya maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku
gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan dia
boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”.
Amal kebaikan
dan ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah
ditentukan Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t dengan rahmat-Nya mengenakan ujian
bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan berhampiran dengan
Allah s.w.t. Oleh yang demikian tidak perlu dipersoalkan tentang amalan dan
ilmu sekiranya keadaan yang demikian terjadi kepada seseorang hamba-Nya.
BERBAGAI-BAGAI JENIS AMAL ADALAH KERANA BERBAGAI-BAGAI AHWAL
(HAL-HAL)
Hikmat 9 di atas ringkas tetapi padat. Hikmat ini merupakan lanjutan
kepada Hikmat 8 yang dihuraikan sebelum ini. Hikmat yang ke lapan menjelaskan
setakat perhentian di hadapan pintu gerbang dan belum menyentuh makrifat.
Hikmat ke sembilan ini memberi gambaran tentang makrifat tetapi tidak dikatakan
makrifat dan tidak dihuraikan secara terus terang sebaliknya diperkatakan
sebagai ahwal. Ahwal adalah jamak bagi perkataan hal. Hikmat ini membawa erti
hal membentuk keadaan amal. Amal adalah perbuatan atau kelakuan lahiriah dan
hal adalah suasana atau kelakuan hati. Amal berkaitan dengan lahiriah manakala
hal berkaitan dengan batiniah. Oleh kerana hati menguasai sekalian anggota maka
kelakuan hati iaitu hal menentukan bentuk amal iaitu perbuatan lahiriah.
Dalam pandangan tasauf, hal diertikan sebagai pengalaman rohani
dalam proses mencapai hakikat dan makrifat. Hal merupakan zauk atau rasa yang
berkaitan dengan hakikat ketuhanan yang melahirkan makrifatullah (pengenalan
tentang Allah s.w.t). Oleh itu, tanpa hal tidak ada hakikat dan tidak
diperolehi makrifat. Ahli ilmu membina makrifat melalui dalil ilmiah tetapi
ahli tasauf bermakrifat melalui pengalaman tentang hakikat.
Sebelum memperolehi pengalaman hakikat, ahli kerohanian terlebih
dahulu memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Ada orang mencari
kasyaf yang dapat melihat makhluk ghaib seperti jin. Dalam proses
mencapai hakikat ketuhanan kasyaf yang demikian tidak penting. Kasyaf yang
penting adalah yang dapat mengenali tipu daya syaitan yang bersembunyi dalam
berbagai-bagai bentuk dan suasana dunia ini. Kasyaf yang menerima hakikat
sesuatu, walau apa jua rupa yang dihadapi, penting bagi pengembara kerohanian.
Rasulullah s.a.w sendiri sebagai ahli kasyaf yang paling unggul hanya melihat
Jibrail a.s dalam rupanya yang asli dua kali sahaja, walaupun pada setiap kali
Jibrail a.s menemui Rasulullah s.a.w dengan rupa yang berbeza-beza, Rasulullah
s.a.w tetap mengenalinya sebagai Jibrail a.s. Kasyaf yang seperti inilah yang
diperlukan agar seseorang itu tidak tertipu dengan tipu daya syaitan yang
menjelma dalam berbagai-bagai rupa yang hebat dan menawan sekalipun, seperti
rupa seorang yang kelihatan alim dan warak.
Bila seseorang ahli kerohanian memperolehi kasyaf maka dia telah
bersedia untuk menerima kedatangan hal atau zauk iaitu pengalaman kerohanian
tentang hakikat ketuhanan. Hal tidak mungkin diperolehi dengan beramal dan
menuntut ilmu. Sebelum ini pernah dinyatakan bahawa tidak ada jalan untuk masuk
ke dalam gerbang makrifat. Seseorang hanya mampu beramal dan menuntut ilmu
untuk sampai hampir dengan pintu gerbangnya. Apabila sampai di situ seseorang
hanya menanti kurniaan Allah s.w.t, semata-mata kurniaan Allah s.w.t yang
membawa makrifat kepada hamba-hamba-Nya. Kurniaan Allah s.w.t yang mengandungi
makrifat itu dinamakan hal. Allah s.w.t memancarkan Nur-Nya ke dalam hati
hamba-Nya dan akibat dari pancaran itu hati akan mendapat sesuatu pengalaman
atau terbentuk satu suasana di dalam hati. Misalnya, pancaran Nur Ilahi membuat
hati mengalami hal bahawa Allah Maha Perkasa. Apa yang terbentuk di dalam hati
itu tidak dapat digambarkan tetapi kesannya dapat dilihat pada tubuhnya yang
menggigil hingga dia jatuh pengsan. Pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami
hal atau zauk atau merasai keperkasaan Allah s.w.t dan pengalaman ini dinamakan
hakikat, iaitu hati mengalami hakikat keperkasaan Allah s.w.t. Pengalaman hati
tersebut membuatnya berpengetahuan tentang maksud Allah Maha Perkasa. Jadi,
pengalaman yang diperolehi daripada zauk hakikat melahirkan pengetahuan tentang
Tuhan. Pengetahuan itu dinamakan makrifat. Orang yang berkenaan dikatakan
bermakrifat terhadap keperkasaan Allah s.w.t. Oleh itu untuk mencapai makrifat
seseorang itu haruslah mengalami hakikat. Inilah jenis makrifat yang tertinggi.
Makrifat tanpa pengalaman hati adalah makrifat secara ilmu. Makrifat secara
ilmu boleh didapati dengan belajar, sementara secara zauk didapati tanpa
belajar. Ahli tasauf tidak berhenti setakat makrifat secara ilmu malah mereka
mempersiapkan hati mereka agar sesuai menerima kedatangan makrifat secara zauk.
Ada orang yang memperolehi hal sekali sahaja dan dikuasai oleh hal
dalam tempuh yang tertentu sahaja dan ada juga yang berkekalan di dalam
hal. Hal yang berterusan atau berkekalan dinamakan wisal iaitu penyerapan hal
secara berterusan, kekal atau baqa. Orang yang mencapai wisal akan terus hidup
dengan cara hal yang berkenaan. Hal-hal (ahwal) dan wisal boleh dibahagikan
kepada lima jenis:
1 : Abid:
Abid adalah orang yang dikuasai oleh hal atau zauk yang
membuat dia merasakan secara bersangatan bahawa dirinya hanyalah seorang hamba
yang tidak memiliki apa-apa dan tidak mempunyai sebarang daya dan upaya untuk
melakukan sesuatu. Kekuatan, keupayaan, bakat-bakat dan apa sahaja yang ada
dengannya adalah daya dan upaya yang daripada Allah s.w.t. Semuanya itu
adalah kurniaan-Nya semata-mata. Allah s.w.t sebagai Pemilik yang sebenar,
apabila Dia memberi, maka Dia berhak mengambil kembali pada bila-bila masa yang
Dia kehendaki. Seorang abid benar-benar bersandar kepada Allah s.w.t hinggakan
sekiranya dia melepaskan sandaran itu dia akan jatuh, tidak bermaya, tidak
boleh bergerak, kerana dia benar-benar melihat dirinya kehilangan apa yang
datangnya dari Allah s.w.t. Hal atau suasana yang menguasai hati abid itu
akan melahirkan amal atau kelakuan sangat kuat beribadat, tidak memperdulikan
dunia dan isinya, tidak mengambil bahagian dalam urusan orang lain, sangat
takut berjauhan dari Allah s.w.t dan gemar bersendirian. Dia merasakan apa
sahaja yang selain Allah s.w.t akan menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.
2 : Asyikin:
Asyikin ialah orang yang mendapat asyik dengan sifat
Keindahan Allah s.w.t. Rupa, bentuk, warna dan ukuran tidak menjadi soal
kepadanya kerana apa sahaja yang dilihatnya menjadi cermin yang dia melihat
Keindahan serta Keelokan Allah s.w.t di dalamnya. Amal atau kelakuan asyikin
ialah gemar merenung alam maya dan memuji Keindahan Allah s.w.t pada apa yang
disaksikannya. Dia boleh duduk menikmati keindahan alam beberapa jam tanpa
berasa jemu. Kilauan ombak dan titikan hujan memukau pandangan hatinya. Semua
yang kelihatan adalah warna Keindahan dan Keelokan Allah s.w.t. Orang yang
menjadi asyikin tidak memperdulikan lagi adab dan peraturan masyarakat.
Kesedarannya bukan lagi pada alam ini. Dia mempunyai alamnya sendiri yang di
dalamnya hanyalah Keindahan Allah s.w.t.
3 : Muttakhaliq:
Muttakhaliq adalah orang yang mencapai yang Haq dan
bertukar sifatnya. Hatinya dikuasai oleh suasana Qurbi Faraidh atau Qurbi
Nawafil. Dalam Qurbi Faraidh, muttakhaliq merasakan dirinya adalah alat dan
Allah s.w.t menjadi Pengguna alat. Dia melihat perbuatan atau kelakuan dirinya
terjadi tanpa dia merancang dan campur tangan, bahkan dia tidak mampu mengubah
apa yang mahu terjadi pada kelakuan dan perbuatannya. Dia menjadi orang yang
berpisah daripada dirinya sendiri. Dia melihat dirinya melakukan sesuatu
perbuatan seperti dia melihat orang lain yang melakukannya, yang dia tidak
berdaya mengawal atau mempengaruhinya. Hal Qurbi Faraidh adalah dia melihat
bahawa Allah s.w.t melakukan apa yang Dia kehendaki. Perbuatan dia sendiri
adalah gerakan Allah s.w.t, dan diamnya juga adalah gerakan Allah s.w.t. Orang
ini tidak mempunyai kehendak sendiri, tidak ada ikhtiar dan tadbir. Apa yang
mengenai dirinya, seperti perkataan dan perbuatan, berlaku secara spontan.
Kelakuan atau amal Qurbi Faraidh ialah bercampur-campur di antara logik dengan
tidak logik, mengikut adat dengan merombak adat, kelakuan alim dengan jahil.
Dalam banyak perkara penjelasan yang boleh diberikannya ialah, “Tidak tahu!
Allah s.w.t berbuat apa yang Dia kehendaki”.
Dalam suasana Qurbi Nawafil pula muttakhaliq melihat dengan mata
hatinya sifat-sifat Allah s.w.t yang menguasai bakat dan keupayaan pada
sekalian anggotanya dan dia menjadi pelaku atau pengguna sifat-sifat tersebut,
iaitu dia menjadi khalifah dirinya sendiri. Hal Qurbi Nawafil ialah berbuat
dengan izin Allah s.w.t kerana Allah s.w.t mengurniakan kepadanya kebolehan
untuk berbuat sesuatu. Contoh Qurbi Nawafil adalah kelakuan Nabi Isa a.s yang
membentuk rupa burung dari tanah liat lalu menyuruh burung itu terbang dengan
izin Allah s.w.t, juga kelakuan beliau a.s menyeru orang mati supaya bangkit
dari kuburnya. Nabi Isa a.s melihat sifat-sifat Allah s.w.t yang diizinkan
menjadi bakat dan keupayaan beliau a.s, sebab itu beliau a.s tidak ragu-ragu
untuk menggunakan bakat tersebut menjadikan burung dan menghidupkan orang mati
dengan izin Allah s.w.t.
4 : Muwahhid:
Muwahhid fana dalam zat, zatnya lenyap dan Zat Mutlak
yang menguasainya. Hal bagi muwahhid ialah dirinya tidak ada, yang ada hanya
Allah s.w.t. Orang ini telah putus hubungannya dengan kesedaran basyariah dan
sekalian maujud. Kelakuan atau amalnya tidak lagi seperti manusia biasa kerana
dia telah terlepas dari sifat-sifat kemanusiaan dan kemakhlukan. Misalkan dia
bernama Abdullah, dan jika ditanya kepadanya di manakah Abdullah, maka dia akan
menjawab Abdullah tidak ada, yang ada hanyalah Allah! Dia benar-benar telah
lenyap dari ke‘Abdullah-an’ dan benar-benar dikuasai oleh ke‘Allah-an’. Ketika
dia dikuasai oleh hal dia terlepas daripada beban hukum syarak. Dia mungkin
melaungkan, “Akulah Allah! Maha Suci Aku! Sembahlah Aku!” Dia telah fana dari
‘aku’ dirinya dan dikuasai oleh kewujudan ‘Aku Hakiki’. Walau bagaimana pun
sikap dan kelakuannya dia tetap dalam keredaan Allah s.w.t. Apabila dia tidak
dikuasai oleh hal, kesedarannya kembali dan dia menjadi ahli syariat yang taat.
Perlu diketahui bahawa hal tidak boleh dibuat-buat dan orang yang dikuasai oleh
hal tidak berupaya menahannya. Ahli hal karam dalam lakuan Allah s.w.t. Bila
dia melaungkan , “Akulah Allah!” bukan bermakna dia mengaku telah menjadi
Tuhan, tetapi dirinya telah fana, apa yang terucap melalui lidahnya sebenarnya
adalah dari Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengatakan Dia adalah Tuhan dengan
menggunakan lidah muwahhid yang sedang fana itu.
Berbeza pula golongan mulhid. Si mulhid tidak dikuasai oleh hal,
tidak ada zauk, tetapi berkelakuan dan bercakap seperti orang yang di dalam
zauk. Orang ini dikuasai oleh ilmu tentang hakikat bukan mengalami hakikat
secara zauk. Si mulhid membuang syariat serta beriman berdasarkan ilmu
semata-mata. Dia berpuas hati bercakap tentang iman dan tauhid tanpa beramal
menurut tuntutan syariat. Orang ini bercakap sebagai Tuhan sedangkan dia di
dalam kesedaran kemanusiaan, masih gelojoh dengan keinginan hawa nafsu.
Orang-orang sufi bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengatakan, “Ana
al-Haq!” sedangkan dia masih sedar tentang dirinya maka orang berkenaan adalah
sesat dan kufur!
5 : Mutahaqqiq:
Mutahaqqiq ialah orang yang setelah fana dalam zat
turun kembali kepada kesedaran sifat, seperti yang terjadi kepada nabi-nabi dan
wali-wali demi melaksanakan amanat sebagai khalifah Allah di atas muka bumi dan
kehidupan dunia yang wajib diuruskan. Dalam kesedaran zat seseorang tidak
keluar dari khalwatnya dengan Allah s.w.t dan tidak peduli tentang
keruntuhan rumah tangga dan kehancuran dunia seluruhnya. Sebab itu orang yang
demikian tidak boleh dijadikan pemimpin. Dia mesti turun kepada kesedaran sifat
baharulah dia boleh memimpin orang lain. Orang yang telah mengalami kefanaan
dalam zat kemudian disedarkan dalam sifat adalah benar-benar pemimpin yang
dilantik oleh Allah s.w.t menjadi Khalifah-Nya untuk memakmurkan makhluk Allah
s.w.t dan memimpin umat manusia menuju jalan yang diredai Allah s.w.t. Orang
inilah yang menjadi ahli makrifat yang sejati, ahli hakikat yang sejati, ahli
tarekat yang sejati dan ahli syariat yang sejati, berkumpul padanya
dalam satu kesatuan yang menjadikannya Insan Rabbani. Insan Rabbani peringkat
tertinggi ialah para nabi-nabi dan Allah s.w.t kurniakan kepada mereka maksum,
sementara yang tidak menjadi nabi dilantik sebagai wali-Nya yang diberi
perlindungan dan pemeliharaan.
Ahwal (hal-hal) yang menguasai hati nurani berbeza-beza, dengan
itu akan mencetuskan kelakuan amal yang berbeza-beza. Ahwal mesti difahami
dengan sebenar-benarnya oleh orang yang memasuki latihan tarekat kerohanian,
supaya dia mengetahui, dalam amal yang bagaimanakah dia mendapat kedamaian dan
mencapai maksud dan tujuan, apakah dengan sembahyang, zikir atau puasa. Dia
mesti berpegang sungguh-sungguh kepada amal yang dicetuskan oleh hal tadi, agar
dia cepat dan selamat sampai ke puncak.
AMALAN ZAHIR
ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI
DALAM AMALAN ITU.
Amal lahiriah
digambarkan sebagai batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan sebagai nyawa yang
menghidupkan batang tubuh itu. Sekiranya kita kurang mendapat kesan yang baik
daripada latihan kerohanian hendaklah kita merenung dengan mendalam tubuh amal
apakah ia bernyawa atau tidak.
Hikmat 10 ini
menghubungkan amal dengan ikhlas. Hikmat 9 yang lalu telah menghubungkan
amal dengan hal. Kedua-dua Kalam Hikmat ini membina jambatan yang menghubungkan
hal dengan ikhlas, kedua-duanya ada kaitan dengan hati, atau lebih tepat jika
dikatakan ikhlas sebagai suasana hati dan hal sebagai Nur Ilahi yang menyinari
hati yang ikhlas. Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati menyambut
kedatangan sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan
Diri-Nya kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut.
Nur yang dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah
s.w.t. Hati yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat
tanda-tanda tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun
mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati yang
mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi menggambarkan ikhlas
dan hubungannya dengan makrifat:
Dan sebenarnya
perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin
timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan
Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk
menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji,
kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala
dosa. ( Ayat 24 : Surah Yusuf )
Nabi Yusuf
a.s adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam
pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan
kekotoran, Nur Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia
menyaksikan dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan
rangsangan jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh
orang arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang
kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di
dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t baik
semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya.
Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan
ikhlas.
Dia Yang Tetap
Hidup; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah
kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. (Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t jua
Yang Hidup. Dia yang memiliki segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam.
Apa sahaja yang ada dalam alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup
adalah diperhidupkan oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan
kurniaan sementara jalan dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba
dituntut supaya mengikhlaskan segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam
melaksanakan tuntutan mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak
boleh berasa takut dan gentar kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka
sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi
bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang
demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah
menetapkan kod etika kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan,
disebarkan dan diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam
keadaan ikhlas kerana Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka,
orang-orang yang menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan
perlawanan. Keikhlasan yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa
bersama apabila menemui Tuhan kelak.
Katakanlah:
“Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya
kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap
kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama
kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada
mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 :
Surah al-A’raaf )
Sekali pun
sukar mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan agar
diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang lahir
mahu pun yang batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan
Allah s.w.t akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat
bahawa Allah jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina.
Hamba berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di dalam
makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang memerintahkan
supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana perintah Allah s.w.t
wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana sesuatu yang lain.
Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan pesona dunia tetapi
dia masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya
yang melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal
kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih mempengaruhi hatinya.
Setelah
kerohaniannya meningkat hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t,
menjadi orang arif yang tidak lagi melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat
Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya
adalah anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya
semuanya merupakan anugerah Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan
dirinya.
Tingkat
ikhlas yang paling rendah ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak
yang jelas dan samar tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala yang
dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat
bersandar kepada amal, iaitu hamba yang mentaati Tuannya kerana
mengharapkan upah daripada Tuannya itu.
Di bawah
daripada tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas
seseorang beramal kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup
kejahatannya agar orang percaya kepadanya dan bermacam-macam lagi muslihat yang
rendah. Orang dari golongan ini walaupun banyak melakukan amalan namun, amalan
mereka adalah umpama tubuh yang tidak bernyawa, tidak dapat menolong tuannya
dan di hadapan Tuhan nanti akan menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang
yang melakukannya. Setiap orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah
mengusahakan ikhlas pada amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai
amalan tersebut, sebanyak ketiadaan ikhlas itu.
(Amalkanlah perkara-perkara
itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun
dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj )
“Serta
(diwajibkan kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah
atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat
kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu,
sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah
engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan
perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106 : Surah Yunus )
Daging dan
darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan
takwa dari kamu. (Ayat 37 : Surah al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru
sekaligus supaya berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan
kepada syirik. Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada
makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas
pada amal tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau
seseorang yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas
itu dipanggil orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi
sesiapa.
Intisari
kepada ikhlas adalah melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak
ada kepentingan lain. Kepentingan diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang
paling utama. Kepentingan diri lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan,
keseronokan, kedudukan, kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang lahir
daripada nafsu itulah yang sering menghalang atau merosakkan ikhlas.
TANAMKAN WUJUD
KAMU DALAM BUMI YANG TERSEMBUNYI KERANA YANG TUMBUH DARI SESUATU YANG
TIDAK DITANAM ITU TIDAK SEMPURNA HASILNYA.
Hikmat yang lalu
mengarahkan pandangan kita kepada ikhlas. Ikhlas menjadi kekuatan yang
menghalau syirik Jalan syirik adalah kepentingan diri sendiri. Oleh itu diri
sendiri mesti diperhatikan bagi mengelakkan berlakunya syirik. Bila kepentingan
diri sendiri boleh ditundukkan baharulah muncul keikhlasan.
Dan juga pada
diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan
(dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )
Hikmat 11 mengajak
kita menyelami persoalan yang lebih halus iaitu hakikat diri kita sendiri atau
kewujudan kita. Kita dijadikan daripada tanah, maka kembalikan ia (jasad)
kepada tanah, iaitu ia (jasad) harus dilayani sebagai tanah supaya ia tidak
mengenakan tipu dayanya. Apabila kita sudah dapat menyekat pengaruh jasad maka
kita hadapi pula roh kita. Roh datangnya daripada Allah s.w.t, kerana roh
adalah urusan Allah s.w.t, maka kembalikan ia kepada Allah s.w.t. Apabila
seseorang hamba itu sudah tidak terikat lagi dengan jasad dan roh maka jadilah
dia bekas yang sesuai untuk diisi dengan Allah s.w.t.
Pada awal
perjalanan, seseorang pengembara kerohanian membawa bersama-samanya sifat-sifat
basyariah serta kesedaran terhadap dirinya dan alam nyata. Dia dikawal oleh
kehendak, pemikiran, cita-cita, angan-angan dan lain-lain. Anasir-anasir alam
seperti galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan turut mempengaruhinya. Latihan
kerohanian menghancurkan sifat-sifat yang keji dan memutuskan rantaian pengaruh
anasir-anasir alam.
Jika
diperhatikan Kalam-kalam Hikmat yang lalu dapat dilihat bahawa hijab nafsu dan
akal yang membungkus hati sehingga kebenaran tidak kelihatan. Akal yang
ditutupi oleh kegelapan nafsu, iaitu akal yang tidak menerima pancaran nur,
tunduk kepada perintah nafsu. Nafsu tidak pernah kenyang dan akal sentiasa ada
jawapan dan alasan. Hujah akal menjadi benteng yang kukuh buat nafsu bersembunyi.
Jangan memandang enteng kepada kekuatan nafsu dalam menguasai akal dan
pancaindera. Al-Quran telah memberi peringatan mengenainya:
@Nampakkah
(wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan
yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya
jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar
atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah
seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. (
Ayat 43 & 44 : Surah al-Furqaan )
Dan kalau Kami
kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan)
ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia
juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlan kisah-kisah itu supaya
mereka mahu berfikir. ( Ayat 176 : Surah al-A’raaf )
Manusia yang
menerima ayat-ayat Allah s.w.t yang seharusnya menjadi mulia telah bertukar
menjadi hina kerana mereka memperturutkan hawa nafsu. Ayat-ayat Allah s.w.t
yang diketahuinya memancarkan cahaya pada hati dan akalnya tetapi kegelapan
nafsu membungkus cahaya itu. Di dalam kegelapan nafsu, akal mengadakan hujah
bagi mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t yang dia sendiri mengetahuinya. Allah
s.w.t mengadakan perbandingan yang hina bagi orang yang seperti ini. Mereka
adalah umpama anjing yang tidak boleh berfikir dan tidak bermaruah. Buruk
sekali pandangan Allah s.w.t terhadap orang yang mempertuhankan nafsunya. Nafsu
yang tidak mahu kenyang adalah umpama anjing yang sentiasa menjulurkan
lidahnya, tidak memperdulikan walaupun dihalau berkali-kali.
Allah s.w.t
mewahyukan ayat-ayat yang menceritakan tentang kehinaan manusia yang menerima
ayat-ayat-Nya tetapi masih juga memperturutkan hawa nafsu, supaya cerita yang
demikian boleh memberi kesedaran kepada mereka. Jika mereka kembali sedar,
mereka akan keluar daripada kegelapan nafsu. Berpandukan ayat-ayat Allah s.w.t
yang sudah mereka ketahui mereka akan temui jalan yang benar.
Ayat-ayat
yang diturunkan Allah s.w.t memberi pengertian kepada Rasulullah s.a.w bahawa
cendikiawan Arab yang menentang baginda s.a.w berbuat demikian bukan kerana
tidak dapat melihat kebenaran yang baginda s.a.w bawa, tetapi mereka dikuasai
oleh hawa nafsu. Cahaya kebenaran yang menyala dilubuk hati ditutupi oleh kegelapan
nafsu. Orang yang telah menerima cahaya kebenaran tetapi mendustakannya itulah
yang diberi perumpamaan yang hina oleh Allah s.w.t.
Menurut
cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama
Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia
khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar. Nabi Musa a.s dan kaum Bani
Israil, setelah selamat daripada Firaun, sampai hampir dengan negeri tempat
tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya
diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat
dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta
pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya untuk mengalahkan Nabi Musa
a.s. Bal’am yang pada mulanya enggan berbuat demikian tetapi akhirnya bersetuju
juga setelah isteri kecintaannya menerima sogokan daripada Raja. Bal’am dengan
kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi
Musa a.s. Menurut cerita, doa dan perbuatan Bal’am dimakbulkan Allah s.w.t dan
ia menjadi sebab kaum Nabi Musa terperangkap di Padang Teh beberapa tahun
lamanya. Apabila Nabi Musa a.s mendoakan agar kaumnya dilepaskan daripada
sekatan tersebut, Allah s.w.t memakbulkan doa tersebut dan pada masa yang sama
laknat turun kepada Bal’am.
Sebahagian
orang menganggap cerita di atas sebagai cerita Israiliat. Rasulullah s.a.w
menentukan dasar bahawa cerita ahlul kitab tidak dibenarkan dan tidak
didustakan. Cerita tersebut dibawa sekadar menunjukkan sejauh mana kekuatan
nafsu menutup pandangan hati sehingga Bal’am sanggup menentang Nabi Musa a.s
walaupun dia mengetahui kebenarannya, sebagaimana cendikiawan Arab menentang
Rasulullah s.a.w sekalipun hati kecil mereka menerima kebenaran baginda s.a.w.
Menundukkan nafsu
bukanlah pekerjaan yang mudah. Seseorang itu perlu kembali kepada hatinya,
bukan akalnya. Hati tidak akan berbohong dengan diri sendiri sekalipun akal
menutupi kebenaran atas perintah nafsu. Kekuatan hati adalah ikhlas. Maksud
ikhlas yang sebenarnya adalah:
Katakanlah:
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (
Ayat 162 : Surah al-An’aam )
Dalam ikhlas tidak
ada kepentingan diri. Semuanya kerana Allah s.w.t. Selagi kepentingan diri
tidak ditanam dalam bumi selagi itu ikhlas tidak tumbuh dengan baik. Ia menjadi
sempurna apabila wujud diri itu sendiri ditanamkan. Bumi tempat menanamnya
adalah bumi yang tersembunyi, jauh daripada perhatian manusia lain. Ia adalah
umpama kubur yang tidak bertanda.
TIADA SESUATU
YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR.
Kalam-kalam Hikmat
pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang keperibadian tauhid
yang halus-halus. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t dan mahu berada di
sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai keperibadian yang demikian. Dalam
membentuk keperibadian itu dia gemar mengikuti landasan syariat, kuat beribadat
dan menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan dosa. Dia sering bangun pada
malam hari untuk melakukan sembahyang tahajud dan selalu pula melakukan puasa
sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak dengan mencontohi apa yang
ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada kesungguhannya itu terbentuklah
padanya keperibadian seorang muslim yang baik. Walaupun demikian dia masih
tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti tentang Allah
s.w.t. Banyak persoalan yang timbul di dalam kepalanya yang tidak mampu
dihuraikannya. Dia telah bertanya kepada mereka yang alim, tetapi dia tidak
mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan yang baik
disampaikan kepadanya dia tidak dapat menghayati apa yang telah diterangkan
itu. Dia mengkaji kitab-kitab tasauf yang besar-besar. Ulama tasauf
telah memberikan penjelasan yang mampu diterima oleh akalnya namun, dia masih
merasakan kekosongan di satu sudut di dalam dirinya. Bolehlah dikatakan yang
dia sampai kepada perbatasan akalnya.
Hikmat 12 ini memberi
petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya. Jalan
yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam
suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah
hati mampu membantu akal secara tafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak
boleh difikirkan oleh akal biasa. Uzlah yang disarankan oleh Hikmat 12 ini
bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi ia adalah satu
bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya dapat menerima
pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur Kalbu tidak mungkin akal dapat
memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan tidak akan diperolehi iman
dan tauhid yang hakiki.
Hati adalah
bangsa rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan mengeluarkan nur jika ia
berada di dalam keadaan suci bersih. nur yang dikeluarkan oleh hati yang suci
bersih itu akan menerangi otak yang bertempat di kepala yang menjadi kenderaan
akal. Akal yang diterangi oleh nur akan dapat mengimani perkara-perkara ghaib
yang tidak dapat diterima oleh hukum logik. Beriman kepada perkara ghaib
menjadi jalan untuk mencapai tauhid yang hakiki.
Nabi Muhammad
s.a.w sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami kebuntuan akal tentang
hal ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan Yahudi yang arif tentang
hal tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada mereka untuk
mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w, sebaliknya baginda
s.a.w telah memilih jalan uzlah. Ketika umur baginda s.a.w 36 tahun baginda
s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w tinggal sendirian di dalam
gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri, anak-anak, keluarga,
masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri baginda s.a.w.
Amalan uzlah yang demikian baginda s.a.w lakukan secara berulang-ulang sehingga
umur baginda s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang paling baginda s.a.w gemar
beruzlah di Gua Hiraa’ ialah pada bulan Ramadan. Latihan uzlah yang baginda
lakukan dari umur 36 hingga 40 tahun itu telah memantapkan rohani baginda s.a.w
sehingga berupaya menerima tanggungjawab sebagai Rasul. Latihan semasa uzlah
telah menyucikan hati baginda s.a.w dan meneguhkannya sehingga hati itu mampu
menerangi akal untuk mentafsir wahyu secara halus dan lengkap. Wahyu yang
dibacakan oleh Jibrail a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w dapat
menghayatinya, memahaminya dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan
menyampaikannya kepada umatnya dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu
membaca dan menulis.
Begitulah
kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan
dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur
tentang ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan dan
kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan
itu dia akan jatuh ke dalam jurang gila.
Orang awam
hidup dalam suasana: “Tugas utama adalah menguruskan kehidupan harian dan tugas
sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t”. Orang yang di dalam
suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga aktiviti tetapi sukar mencari
kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang yang seperti ini jika
diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya dan memperbanyakkan
aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi alasan bahawa Rasulullah
s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak meninggalkan dunia lantaran sibuk
dengan Allah s.w.t. Mereka ini lupa atau tidak mengerti bahawa Rasulullah s.a.w
dan para sahabat telah mendapat wisal atau penyerapan hal yang berkekalan. Hati
mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t. Kesibukan menguruskan urusan
harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun. Orang
yang mata hatinya masih tertutup dan cermin hatinya tidak menerima pancaran Nur
Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada Allah s.w.t ketika sedang
sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf akan kelemahan dirinya
akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh
para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua jenis kesibukan terutamanya
pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada hubungan dengan orang ramai.
Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat khabar, radio dan
televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu kecuali perhubungan
dengan Allah s.w.t.
Dalam
perjalanan tarekat tasauf amalan uzlah dilakukan dengan
bersistematik dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani
suluk dinamakan murid atau salik. Si salik menghabiskan kebanyakan daripada
masanya di dalam bilik khalwat dengan diawasi dan dibimbing oleh gurunya.
Latihan bersuluk memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang
yang baharu menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai.
Imannya belum cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang
boleh menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya
daripada mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya
lebih aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t.
Semasa
beruzlah, bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di dalam
bermujahadah memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia memperbanyakkan
sembahyang, puasa dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana memanjangkan masa
beribadat. Kegiatan beribadat dan pelepasan ikatan nafsu dan duniawi
menjernihkan cermin hatinya. Hati yang suci bersih menghala ke alam ghaib iaitu
Alam Malakut. Hati mampu menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib.
Isyarat yang diterimanya hanyalah sebentar tetapi cukup untuk menarik minatnya
bagi mengkaji apa yang ditangkap oleh hatinya itu. Terjadilah perbahasan di
antara fikirannya dengan dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia menjadi
penanya dan penjawab, murid dan pengajar. Perbahasan dengan diri sendiri itu
dinamakan tafakur.
Pertanyaan
timbul dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi jawapan. Ketika
fikirannya meraba-raba mencari jawapan, dia mendapat bantuan daripada hatinya
yang sudah suci bersih. Hati yang berkeadan begini mengeluarkan nur yang
menerangi akal, lalu jalan fikirannya terus menjadi terang. Sesuatu persoalan
yang pada mulanya difikirkan rumit dan mengelirukan, tiba-tiba menjadi mudah
dan terang. Dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya kepada persoalan yang
dahulunya mengacau fikiran dan jiwanya. Dia menjadi bertambah berminat untuk
bertafakur menghuraikan segala kekusutan yang tidak dapat dihuraikannya selama
ini. Dia gemar merenung segala perkara dan berbahas dengan dirinya, menghubungkannya
dengan Tuhan sehingga dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Semakin dia
bertafakur semakin terbuka kegelapan yang menutupi fikirannya. Dia mula
memahami tentang hakikat, hubung-kait antara makhluk dengan Tuhan, rahsia
Tenaga Ilahi dalam perjalanan alam dan sebagainya.
Isyarat-isyarat
tauhid yang diterima oleh hatinya membuat mata hatinya melihat bekas-bekas
Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia dapat melihat bahawa semuanya
adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya, lukisan-Nya dan peraturan-Nya. Hasil
dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia bermakrifat kepada Allah
s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi kemudi baginya untuk
mencapai makrifat secara zauk.
Dalam pengajian
ketuhanan akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal hendaklah sedar
bahawa ia tidak mampu memahami perkara ghaib. Oleh itu akal perlu meminta
bantuan hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya. Dalam proses menggilap hati
itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah akal melambatkan proses
penggilapan hati. Sebab itulah Hikmat 12 menganjurkan supaya mengasingkan diri.
Di dalam suasana pengasingan nafsu menjadi lemah dan akal tidak lagi mengikut
telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat mengeluarkan cahayanya. Cahaya hati
menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah terang benderang baharulah
akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu dihuraikannya sebelum itu.
BAGAIMANA HATI
AKAN DAPAT DISINARI SEDANGKAN GAMBAR-GAMBAR ALAM MAYA MELEKAT PADA CERMINNYA,
ATAU BAGAIMANA MUNGKIN BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH
DIBELENGGU OLEH SYAHWATNYA, ATAU BAGAIMANA AKAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T
SEDANGKAN DIA MASIH BELUM SUCI DARI JUNUB KELALAIANNYA, ATAU BAGAIMANA
MENGHARAP UNTUK MENGERTI RAHSIA-RAHSIA YANG HALUS SEDANGKAN DIA BELUM TAUBAT
DARI DOSANYA (KELALAIAN, KEKELIRUAN DAN KESALAHAN).
Hikmat 12 memberi
penekanan tentang uzlah iaitu mengasingkan diri. Hikmat 13 ini pula
memperingatkan bahawa uzlah tubuh badan sahaja tidak memberi kesan yang baik
jika hati tidak ikut beruzlah. Walaupun tubuh badan dikurung hati masih boleh
disambar oleh empat perkara:
1: Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam
seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
2: Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang
dikehendaki.
3: Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
4: Dosa yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.
Diri manusia
tersusun daripada anasir tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh
unsur-unsur alam seperti galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat.
Tiap-tiap anasir dan unsur itu menarik hati kepada diri masing-masing. Tarik
menarik itu akan menimbulkan kekacauan di dalam hati. Kekacauan itu pula
menyebabkan hati menjadi keruh. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran
nur yang melahirkan iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting
untuk membukakannya bagi menerima maklumat dari Alam Malakut. Hati yang kacau
itu boleh distabilkan dengan cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi
kepada syariat. Syariat menjadi tali yang dapat mengikat musuh-musuh yang cuba
menawan hati. Penting bagi seorang murid yang menjalani jalan kerohanian
menjadikan syariat sebagai payung yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir
dan daya-daya yang menyerap ke dalam diri agar cermin hatinya bebas daripada
gambar-gambar alam maya. Bila cermin hati sudah bebas daripada gambar-gambar
dan tarikan tersebut, hati dapat menghadap ke Hadrat Ilahi.
Selain
tarikan benda-benda alam, hati boleh juga tunduk kepada syahwat. Syahwat bukan
sahaja rangsangan hawa nafsu yang rendah. Semua bentuk kehendak diri sendiri
yang berlawanan dengan kehendak Allah s.w.t adalah syahwat. Kerja syahwat
adalah mengajak manusia supaya lari dari hukum dan peraturan Allah s.w.t serta
membangkang takdir Ilahi. Syahwat membuat manusia tidak reda dengan keputusan
Allah s.w.t. Seseorang yang mahu menuju Allah s.w.t perlulah melepaskan dirinya
dari belenggu syahwat dan kehendak diri sendiri, lalu masuk ke dalam benteng
aslim iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t dan reda dengan takdir-Nya.
Perkara ke
tiga yang dibangkitkan oleh Hikmat ke tiga belas ini ialah kelalaian yang
diistilahkan sebagai junub batin. Orang yang berjunub adalah tidak suci dan
dilarang melakukan ibadat atau memasuki masjid. Orang yang berjunub batin pula
tertegah dari memasuki Hadrat Ilahi. Orang yang di dalam junub batin iaitu
lalai hati, kedudukannya seperti orang yang berjunub zahir, di mana amal ibadatnya
tidak diterima. Allah s.w.t mengancam untuk mencampakkan orang yang
bersembahyang dengan lalai (dalam keadaan berjunub batin) ke dalam neraka
wil. Begitu hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang menghadap-Nya
dengan hati yang lalai.
Mengapa
begitu hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang lalai? Bayangkan hati
itu berupa dan berbentuk seperti rupa dan bentuk kita yang zahir. Hati yang
khusyuk adalah umpama orang yang menghadap Allah s.w.t dengan mukanya, duduk
dengan tertib, bercakap dengan sopan santun dan tidak berani mengangkat kepala
di hadapan Maharaja Yang Maha Agung. Hati yang lalai pula adalah umpama orang
yang menghadap dengan belakangnya, duduk secara biadab, bertutur kata tidak
tentu hujung pangkal dan kelakuannya sangat tidak bersopan. Perbuatan demikian
adalah satu penghinaan terhadap martabat ketuhanan Yang Maha Mulia dan Maha
Tinggi. Jika raja didunia murka dengan perbuatan demikian maka Raja kepada
sekalian raja-raja lebih berhak melemparkan kemurkaan-Nya kepada hamba yang
biadab itu dan layaklah jika si hamba yang demikian dicampakkan ke dalam neraka
wil. Hanya hamba yang khusyuk, yang tahu bersopan santun di hadapan Tuhannya
dan mengagungkan Tuhannya yang layak masuk ke Hadrat-Nya, sementara hamba yang
lalai, tidak tahu bersopan santun tidak layak mendekati-Nya.
Perkara yang
ke empat adalah dosa-dosa yang belum ditebus dengan taubat. Ia menghalang
seseorang daripada memahami rahsia-rahsia yang halus-halus. Pintu kepada
Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi adalah taubat! Orang yang telah
menyuci-bersihkan hatinya hanya mampu berdiri di luar pintu Rahsia Allah s.w.t
selagi dia belum bertaubat, samalah seperti orang yang mati syahid yang belum
menjelaskan hutangnya terpaksa menunggu di luar syurga. Jika dia mahu masuk ke
dalam Perbendaharaan Allah s.w.t yang tersembunyi yang mengandungi rahsia yang
halus-halus wajiblah bertaubat. Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus.
Orang yang tidak memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa Rasulullah
s.a.w yang tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan sedangkan
sekalipun baginda s.a.w berdosa semuanya diampunkan Allah s.w.t. Adakah
Rasulullah s.a.w tidak yakin bahawa Allah s.w.t mengampunkan semua dosa-dosa
dan kesalahan-kesalahan baginda s.a.w (jika ada)?
Maksud taubat
ialah kembali, iaitu kembali kepada Allah s.w.t. Orang yang melakukan dosa
tercampak jauh daripada Allah s.w.t. Walaupun orang ini sudah berhenti
melakukan dosa malah dia sudah melakukan amal ibadat dengan banyaknya namun, tanpa
taubat dia tetap tinggal berjauhan dari Allah s.w.t. Dia telah masuk ke dalam
golongan hamba yang melakukan amal salih tetapi yang berjauhan bukan berdekatan
dengan Allah s.w.t. Taubat yang lebih halus ialah pengayatan kalimat:
Tiada daya dan
upaya melainkan anugerah Allah s.w.t.
Kami datang dari
Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
Segala
sesuatu datangnya dari Allah s.w.t, baik kehendak mahupun perbuatan kita.
Sumber yang mendatangkan segala sesuatu adalah Uluhiyah (Tuhan) dan yang
menerimanya adalah ubudiyah (hamba). Apa sahaja yang dari Uluhiyah adalah
sempurna dan apa sahaja yang terbit dari ubudiyah adalah tidak sempurna.
Uluhiyah membekalkan kesempurnaan tetapi ubudiyah tidak dapat melaksanakan
kesempurnaan itu. Jadi, ubudiyah berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu
kepada Uluhiyah dengan memohon keampunan dan bertaubat sebagai menampung
kecacatan. Segala urusan dikembalikan kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi
makrifat seseorang hamba semakin kuat ubudiyahnya dan semakin kerap dia memohon
keampunan dari Allah s.w.t, mengembalikan setiap urusan kepada Allah s.w.t,
sumber datangnya segala urusan.
Apabila hamba
mengembalikan urusannya kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t sendiri yang akan
mengajarkan Ilmu-Nya yang halus-halus agar kehendak hamba itu bersesuaian
dengan Iradat Allah s.w.t, kuasa hamba sesuai dengan Kudrat Allah s.w.t, hidup
hamba sesuai dengan Hayat Allah s.w.t dan pengetahuan hamba sesuai dengan Ilmu
Allah s.w.t, dengan itu jadilah hamba mendengar kerana Sama’ Allah s.w.t,
melihat kerana Basar Allah s.w.t dan berkata-kata kerana Kalam Allah s.w.t.
Apabila semuanya berkumpul pada seorang hamba maka jadilah hamba itu Insan
Sirullah (Rahsia Allah s.w.t).
ALAM
SEKALIANNYA ADALAH KEGELAPAN DAN YANG MENERANGKANNYA ADALAH KERANA
PADANYA KELIHATAN YANG HAQ (TANDA-TANDA ALLAH S.W.T). BARANGSIAPA MELIHAT
ALAM TETAPI DIA TIDAK MELIHAT ALLAH S.W.T SAMA ADA DALAMNYA, DI
SAMPINGNYA, SEBELUMNYA , ATAU SESUDAHNYA, MAKA DIA BENAR-BENAR MEMERLUKAN
WUJUDNYA CAHAYA-CAHAYA ITU DAN TERTUTUP BAGINYA CAHAYA MAKRIFAT OLEH TEBALNYA
AWAN BENDA-BENDA ALAM.
Alam ini pada
hakikatnya adalah gelap atau ‘adam, tidak wujud. Wujud Allah s.w.t yang
menerbitkan kewujudan alam. Tidak ada satu kewujudan yang berpisah daripada
Wujud Allah s.w.t. Hubungan Wujud Allah s.w.t dengan kewujudan makhluk
sekiranya dibuat ibarat (sebenarnya tidak ada sebarang ibarat yang mampu
menjelaskan hakikat yang sebenarnya), perhatikan kepada api yang dipusing
dengan laju. Kelihatanlah pada pandangan kita bulatan api. Perhatikan pula
kepada orang yang bercakap, akan kedengaranlah suara yang dari mulutnya.
Kemudian perhatikan pula kepada kasturi, akan terhidulah baunya yang wangi.
Wujud bulatan api adalah wujud yang berkaitan dengan wujud api. Wujud suara
adalah wujud yang berkaitan dengan wujud orang yang bercakap. Wujud bau wangi
adalah wujud yang berkaitan dengan wujud kasturi. Wujud bulatan api, suara dan
bau wangi pada hakikatnya tidak wujud. Begitulah ibaratnya wujud makhluk yang
menjadi terbitan daripada Wujud Allah s.w.t. Wujud bulatan api adalah hasil
daripada pergerakan api. Wujud suara adalah hasil daripada perbuatan orang yang
bercakap. Wujud bau wangi adalah hasil daripada sifat kasturi. Bulatan api
bukanlah api tetapi bukan lain daripada api dan tidak terpisah daripada api.
Suara bukanlah orang yang bercakap tetapi bukan pula lain daripada orang yang
bercakap. Walaupun orang itu sudah tidak bercakap tetapi masih banyak lagi
suara yang tersimpan padanya. Bau wangi bukanlah kasturi tetapi bukan pula lain
daripada kasturi. Walaupun bulatan api boleh kelihatan banyak, suara kedengaran
banyak, bau dinikmati oleh ramai orang namun, api hanya satu, orang yang
bercakap hanya seorang dan kasturi yang mengeluarkan bau hanya sebiji.
Agak sukar
untuk memahami konsep ada tetapi tidak ada, tiada bersama tetapi tidak
berpisah. Inilah konsep ketuhanan yang tidak mampu dipecahkan oleh akal tanpa
penerangan nur yang dari lubuk hati. Mata hati yang diterangi oleh Nur Ilahi
dapat melihat perkaitan antara ada dengan tidak ada, tidak bersama tetapi tidak
berpisah. Atas kekuatan hatinya menerima sinaran Nur Ilahi menentukan kekuatan
mata hatinya melihat kepada keghaiban yang tidak berpisah dengan kejadian alam
ini. Ada 4 tingkatan pandangan mata hati terhadap perkaitan alam dengan Allah
s.w.t yang menciptakan alam.
1: Mereka
yang melihat Allah s.w.t dan tidak melihat alam ini. Mereka adalah umpama orang
yang hanya melihat kepada api, bulatan api yang khayali tidak menyilaukan
pandangannya. Walaupun mereka berada di tengah-tengah kesibukan makhluk namun,
mata hati mereka tetap tertumpu kepada Allah s.w.t, tidak terganggu oleh
kekecuhan makhluk. Lintasan makhluk hanyalah umpama cermin yang ditembusi
cahaya. Pandangan mereka tidak melekat pada cermin itu.
2: Mereka
yang melihat makhluk pada zahir tetapi Allah s.w.t pada batin. Mata hati mereka
melihat alam sebagai penzahiran sifat-sifat Allah s.w.t. Segala yang maujud
merupakan kitab yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Tiap satu kewujudan alam
ini membawa sesuatu makna yang menceritakan tentang Allah s.w.t.
3: Mereka
yang melihat Allah s.w.t pada zahirnya sementara makhluk tersembunyi. Mata hati
mereka terlebih dahulu melihat Allah s.w.t sebagai Sumber kepada segala
sesuatu, kemudian baharulah mereka melihat makhluk yang menerima kurniaan
daripada-Nya. Alam tidak lain melainkan perbuatan-Nya, gubahan-Nya, lukisan-Nya
atau hasil kerja Tangan-Nya.
4: Mereka
yang melihat makhluk terlebih dahulu kemudian baharulah melihat Allah s.w.t.
Mereka memasuki jalan berhati-hati dan berwaspada, memerlukan masa untuk
menghilangkan keraguan, berdalil dengan akal sehingga kesudahannya ternyatalah
akan Allah s.w.t yang Wujud-Nya menguasai wujud makhluk.
Selain yang
dinyatakan di atas tidak lagi dipanggil orang yang melihat Allah s.w.t.
Gambar-gambar alam, syahwat, kelalaian dan dosa menggelapkan cermin hati
mereka hingga tidak mampu menangkap cahaya yang membawa kepada makrifat. Mereka
gagal untuk melihat Allah s.w.t sama ada di dalam sesuatu, di samping sesuatu,
sebelum sesuatu atau sesudah sesuatu. Mereka hanya melihat makhluk seolah-olah
makhluk berdiri dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan.
Anasir alam
dan sekalian peristiwa yang berlaku merupakan perutusan yang membawa
perkhabaran tentang Allah s.w.t. Perkhabaran itu bukan didengar dengan telinga
atau dilihat dengan mata atau difikir dengan akal. Ia adalah perkhabaran ghaib
yang menyentuh jiwa. Sentuhan tangan ghaib pada jiwa itulah yang membuat hati
mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata dan merenung tanpa akal fikiran.
Hati hanya mengerti setiap perutusan yang disampaikan oleh tangan ghaib
kepadanya dan hati menerimanya dengan yakin. Keyakinan itu menjadi kunci kepada
telinga, mata dan akal. Apabila kuncinya telah dibuka, segala suara alam yang
didengar, sekalian anasir alam yang dilihat dan seluruh alam maya yang
direnungi akan membawa cerita tentang Tuhan. Abid mendengar, melihat dan
merenungi Keperkasaan Tuhan. Asyikin mendengar, melihat dan merenungi keindahan
Tuhan. Muttakhaliq mendengar, melihat dan merenungi kebijaksanaan dan
kesempurnaan Tuhan. Muwahhid mendengar, melihat dan merenungi keesaan Tuhan.
Iaitu hari
mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan
tersembunyi kepada Allah sesuatupun darihal keadaan mereka. (Pada saat
itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?” (Allah
sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha Mengatasi
kekuasaan-Nya segala-galanya!” ( Ayat 16 : Surah Mu’min )

Mereka telah mendustakan
mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka
sebagai balasan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa. ( Ayat 42 :
Surah al-Qamar )
Ayat-ayat
seperti yang di atas menggetarkan jiwa abid. Hati abid sudah ‘berada’ di
akhirat. Alam dan kehidupan ini menjadi ayat-ayat atau tanda-tanda untuknya
melihat keadaan dirinya di akhirat kelak, menghadap Tuhan Yang Esa, Maha
Perkasa, tiada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya.
Dialah yang
telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau
tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan
yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangi
pandangan(mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah
pandangan(mu) berkali-kali, nescaya pandangan(mu) itu akan berbalik kepadamu
dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan
lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). ( Ayat 3 & 4 :
Surah al-Mulk )
Asyikin memandang
kepada alam ciptaan dan dia mengulang-ulangi pemandangannya. Semakin dia
memandang kepada alam semakin dia melihat kepada keelokan dan kesempurnaan
Pencipta alam. Dia asyik dengan apa yang dipandangnya.
Dialah Allah,
Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada);
Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya);
bagi-Nya jualah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih
kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah Yang tidak ada
tuluk banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 24 : Surah al-Hasy-r )
Muttakhaliq
menyaksikan sifat-sifat Tuhan yang dikenal dengan nama-nama yang baik. Alam
adalah perutusan untuknya mengetahui nama-nama Allah s.w.t dan sifat-sifat Kesempurnaan-Nya.
Setiap yang dipandang menceritakan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Sesungguhnya
Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah akan Daku, dan
dirikan sembahyang untuk mengingati Daku. ( Ayat 14 : Surah Taha )
Muwahhid fana dalam
Zat. Kesedaran dirinya hilang. Melalui lidahnya muncul ucapan-ucapan seperti
ayat di atas. Dia mengucapkan ayat-ayat Allah s.w.t, bukan dia bertukar menjadi
Tuhan.
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Segala puji
tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang
Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari
Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan
kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang
lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada
mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula
(jalan) orang-orang yang sesat. ( Ayat 1 – 7 : Surah al-Faatihah
)
Mutahaqqiq kembali
kepada kesedaran keinsanan untuk memikul tugas membimbing umat manusia kepada
jalan Allah s.w.t. Hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t dan bergantung
kepada-Nya. Kehidupan ini adalah medan dakwah baginya. Segala anasir alam adalah
alat untuk dia memakmurkan bumi.
Apabila Nur
Ilahi menerangi hati apa sahaja yang dipandang akan kelihatanlah Allah s.w.t di
sampingnya atau sebelumnya atau sesudahnya.
DI ANTARA BUKTI
YANG MENUNJUKKAN ADANYA KEPERKASAAN ALLAH S.W.T YANG LUAR BIASA ADALAH YANG
DAPAT MENGHIJAB ENGKAU DARIPADA MELIHAT KEPADA-NYA DENGAN HIJAB YANG TIDAK ADA
WUJUDNYA DI SISI ALLAH S.W.T.
BAGAIMANA
DISANGKA ALLAH S.W.T DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG MENZAHIRKAN
SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA
MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TAMPAK ZAHIR PADA SEGALA
SESUATU.
BAGAIMANA AKAN
MUNGKIN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TERLIHAT DALAM TIAP SESUATU.
SESUATU
BAGAIMANA AKAN DAPAT DITUTUP OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG TAMPAK PADA TIAP
SEGALA SESUATU. BAGAIMANA MUNGKIN DIHIJAB OLEH PADAHAL DIA YANG ADA ZAHIR
SEBELUM ADA SESUATU.
BAGAIMANA
MUNGKIN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG LEBIH NYATA DARI SEGALA SESUATU.
BAGAIMANA
MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG ESA, TIDAK ADA DI
SAMPING-NYA SESUATU APA PUN.
BAGAIMANA AKAN
DAPAT DIHIJAB OLEH SESUATU PADAHAL DIA YANG LEBIH DEKAT KEPADA KAMU DARI SEGALA
SESUATU.
BAGAIMANA
MUNGKIN AKAN DIHIJAB OLEH SESUATU, ANDAINYA TIDAK ADA ALLAH S.W.T NESCAYA TIDAK
ADA SEGALA SESUATU.
ALANGKAH
AJAIBNYA BAGAIMANA NAMPAK WUJUD DI DALAM ‘ADAM (YANG TIDAK WUJUD), ATAU
BAGAIMANA DAPAT BERTAHAN SESUATU YANG ROSAK BINASA ITU DI SAMPING ZAT YANG
BERSIFAT KEKAL.
Alam ini kesemuanya
adalah gelap gelita sedang yang meneranginya adalah kerana nampak Wujud Allah
s.w.t padanya. Pada hakikatnya alam ini tidak wujud, Allah s.w.t jua yang
wujud. Tetapi apa yang terlihat kepada kita adalah alam semata-mata sedangkan
Allah s.w.t yang lebih nyata menjadi terlindung daripada pandangan kita. Allah
s.w.t yang menzahirkan segala sesuatu, bagaimana sesuatu itu pula
menghijabkan-Nya. Allah s.w.t yang tampak nyata pada segala sesuatu, bagaimana
pula Dia terlindung. Allah s.w.t adalah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya,
bagaimana pula Dia dihijab oleh sesuatu yang tidak wujud di samping-Nya.
Hati akan
hanya diisi dengan iman (percaya) atau ragu-ragu. Jika Nur Ilahi menyinari hati
maka mata hati akan melihat dengan iman. Seandainya pandangan mata hati
tidak bersuluhkan Nur Ilahi maka apa yang dipandangnya akan membawa keraguan
dalam bentuk pertanyaan ‘bagaimana’. Pertanyaan ‘bagaimana’ itu merupakan ujian
tentang Allah s.w.t. Ia boleh memberi rangsangan untuk menambahkan pengetahuan
tentang Tuhan. Jika tidak dikawal ia akan mendorong kepada perbahasan yang
tidak ada penyelesaian kerana bidang ilmu sangat luas, tidak mungkin habis
untuk diterokai. Jika kita ikuti perbahasan ilmu, kita akan mati dahulu sebelum
sempat mendapat jawapan penghabisan. Oleh itu letakkan garisan penamat kepada
ilmu dan masuklah ke dalam iman. Iman menghilangkan keraguan dan tidak perlu
bersandar kepada bukti dan dalil-dalil.
Pengalaman
hakikat akan menghapuskan pertanyaan ‘bagaimana’. Apabila keraguan datang, ia
akan disambut dengan jawapan, “Dengan Dia aku mengenal sifat-Nya, bukan dengan
sifat-Nya aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal ilmu pengetahuan, bukan
dengan ilmu pengetahuan aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal makrifat
bukan dengan makrifat aku mengenal Dia”.
Apabila hati
sudah diisi dengan iman pertanyaan ‘bagaimana’ akan menguatkan keinginan untuk
mencungkil Rahsia Ilahi yang menyelubungi alam maya ini. Jika dia tidak mampu
memahami sesuatu tentang Rahsia Ilahi itu maka dia akan tunduk dan mengakui dengan
kerendahan hatinya bahawa benteng keteguhan Allah s.w.t tidak mampu dipecahkan
oleh makhluk-Nya.
TIDAK
MENINGGALKAN SEDIKIT PUN DARI KEBODOHAN BAGI SESIAPA YANG BERKEHENDAK
MENGADAKAN PADA SESUATU MASA SESUATU YANG LAIN DARIPADA APA YANG DIJADIKAN
ALLAH S.W.T PADA MASA ITU.
Dalam perjalanan
menuju Allah s.w.t ada sebahagian orang yang tertinggal di belakang walaupun
mereka sudah melakukan amal yang sama seperti yang dilakukan oleh orang lain
yang lebih maju. Satu halangan yang menyekat golongan yang tertinggal itu
adalah kebodohannya yang tidak mahu tunduk kepada ketentuan Allah s.w.t. Dia
masih dipermainkan oleh nafsu dan akal yang menghijab hatinya daripada melihat
Allah s.w.t pada apa yang dilihat. Pandangannya hanya tertuju kepada alam benda
dan perkara zahir sahaja. Dia melihat kepada keberkesanan hukum sebab-musabab
dan meletakkan pergantungan kepada amalnya. Dia yakin yang dia boleh
mendapatkan apa yang dia ingini melalui usahanya.
Keadaan orang yang
disebutkan di atas telah disentuh pada Hikmat 1. Ketika rohani orang lain telah
maju di dalam menuju Allah s.w.t dia masih juga berpusing-pusing di dalam
kesamaran dan keraguan. Nafsunya tetap melahirkan keinginan-keinginan.
Keinginan diri sendiri menjadi rantai yang mengikat kaki daripada berjalan
menuju Allah s.w.t. Bagaimana boleh seseorang mendekati Allah s.w.t jika dia
enggan menjadikan Allah s.w.t sebagai Pengurus semua aspek kehidupannya. Walau
para hamba rela atau membantah, Allah s.w.t tetap melaksanakan ketentuan-Nya.
Allah s.w.t melaksanakan kehendak-Nya pada setiap masa dan tidak ada sesiapa
yang dapat menghalang-Nya.
Tiap-tiap masa
Ia (Allah) di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan akhluk-makhluk-Nya).
(
Ayat 29 : Surah ar-Rahman )
Allah s.w.t sahaja
yang mencipta, meletakkan hukum dan peraturan, membahagikan rezeki dan
lain-lain. Dia menentukan urusan dengan bijaksana dan adil, termasuklah urusan
mengenai diri kita dan apa yang terjadi pada kita. Kita memandang diri kita dan
kejadian yang menimpa kita dalam sekop yang kecil. Allah s.w.t melihat
kepada seluruh alam dan semua kejadian, tanpa keliru pandangan-Nya kepada diri
kita dan kejadian yang menimpa kita, juga tidak beralih pandangan-Nya dari
makhluk-Nya yang lain.
Urusan pentadbiran-Nya
adalah menyeluruh dan sempurna. Orang yang tidak berbekas pada hatinya akan
kesempurnaan Allah s.w.t itu adalah orang dungu. Dia masih juga merungut
tentang perjalanan hukum takdir Ilahi, seolah-olah Tuhan harus tunduk kepada
hukum makhluk-Nya. Bagi murid yang cenderung mengikuti latihan kerohanian
perlulah berusaha untuk melenyapkan kehendak diri sendiri dan hidup dalam
lakuan Allah s.w.t. Jangan sekali-kali bertelagah dengan takdir kerana Penentu
Takdir tidak pernah berbincang dengan sesiapa pun dalam menentukan arus
ketentuan-Nya.
Jika kita
mahu mengenali Allah s.w.t kita tidak boleh melihat-Nya pada satu aspek sahaja.
Jika kita melihat Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), kita juga harus melihat
Allah al-‘Aziz (Maha Keras). Jika kita melihat Allah al-Hayyu (Yang
Menghidupkan) kita juga harus melihat Allah al-Mumit (Yang mematikan). Jika
kita dapat melihat semua Sifat-sifat Allah s.w.t dalam satu kesatuan baharulah
kita dapat mengenali-Nya dengan sebenar-benar kenal. Bila Allah s.w.t dikenali
dalam semua aspek, hikmat kebijaksanaan-Nya dalam menentukan sesuatu perkara
pada sesuatu masa tidak terlindung lagi dari pandangan mata hati.
Hati yang
tidak mahu tunduk kepada Maha Pengatur tidak akan menemui kedamaian. Waktu,
ruang dan kejadian akan membuatnya gelisah kerana nafsunya tidak dapat
menguasai semua itu. Dia inginkan sesuatu perkara pada satu masa sedangkan Maha
Pengatur inginkan perkara lain. Kehendak makhluk tidak dapat mengatasi kehendak
Tuhan. Jika mahu hati menjadi tenteram usahakan agar hati sentiasa ingat kepada
Allah s.w.t.
“(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”.
Ketahuilah! Dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ayat
28 : Surah ar-Ra’d)
Berimanlah kepada
Allah s.w.t dan beriman juga kepada takdir. Lepaskan waham sebab musabab yang
menjadi pagar nafsu menutup hati.
Tidak
ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan
izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk
menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 11 : Surah
at-Taghaabun )
MENUNDA AMAL
KEBAIKAN KERANA MENANTIKAN KESEMPATAN YANG LEBIH BAIK ADALAH TANDA KEBODOHAN.
Hikmat yang lalu
memaparkan kebodohan yang timbul kerana kejahilan tentang kekuasaan Tuhan.
Hikmat 26 ini pula memaparkan kebodohan yang timbul lantaran kelalaian. Orang
yang mabuk dibuai oleh ombak kelalaian tidak dapat melihat bahawa pada setiap
detik pintu rahmat Allah s.w.t sentiasa terbuka dan Allah s.w.t sentiasa
berhadap kepada hamba-hamba-Nya. Setiap saat adalah kesempatan dan tidak ada
kesempatan yang lebih baik daripada kesempatan yang memperlihatkan dirinya
kepada kita. Kesempatan yang paling baik ialah kesempatan yang kita sedang
berada di dalamnya.
Kelalaian
adalah buah kepada panjang angan-angan. Panjang angan-angan pula datangnya dari
pokok kurang ingatan kepada mati. Jadi, ubat yang paling mujarab untuk
mengubati penyakit kelalaian ialah memperbanyakkan ingatan kepada mati. Apabila
ingatan kepada mati sudah kuat maka seseorang itu tidak akan mengabaikan
kesempatan yang ada baginya untuk melakukan amal salih.
Hikmat ke 26
jika ditafsir secara umum menganjurkan agar segala amal kebaikan hendaklah
dilakukan dengan segera tanpa bertangguh-tangguh. Jika diperhatikan
Kalam-kalam Hikmat yang lalu dapat difahamkan bahawa Hikmat yang dipaparkan
berperanan membimbing seseorang pada jalan kerohanian. Amal yang ditekankan
adalah amal yang berhubung dengan pembentukan rohani. Hikmat 27 nanti
akan memperkatakan tentang makam iaitu suasana kerohanian. Jadi, jika ditafsir
secara khusus Hikmat 26 ini menganjurkan bersegera melakukan amal-amal
yang perlu bagi menyediakan hati untuk menerima kedatangan hal-hal dan
seterusnya mencapai makam-makam. Amal yang berkenaan ialah latihan kerohanian
menurut tarekat tasauf. Latihan yang demikian harus disegerakan sebaik sahaja
mendapat kesempatan, tanpa menanti kedatangan kesempatan yang lain yang
diharapkan lebih baik dan lebih sesuai.
Ketika
menjalani latihan kerohanian secara tarekat tasauf kehidupan hanya
dipenuhi dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, berzikir dan lain-lain
Semua amalan tersebut dilakukan bukan bertujuan untuk mengejar syurga tetapi
semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t dan mendekatkan diri
kepada-Nya. Amalan seperti inilah yang membuka pintu hati untuk berpeluang
mengalami hal-hal yang membawa kepada hasil yang diharapkan iaitu
makrifatullah. Sesiapa yang benar-benar ingin mencari keredaan Allah s.w.t dan
berhasrat untuk menghampiri-Nya serta mengenali-Nya hendaklah jangan
bertangguh-tangguh lagi. Usah dicari kesempatan yang lebih baik. Jangan
menjadikan masalah keduniaan sebagai alasan untuk menunda tindakan bergiat
mencari keredaan Allah s.w.t. Bulatkan tekad, kuatkan azam, masuklah ke dalam
golongan ahli Allah s.w.t yang beramal dan bekerja semata-mata kerana Allah
s.w.t. Benamkan diri sepenuhnya ke dalam suasana ‘Allah’ semata-mata dan
tinggalkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t buat seketika. Anggapkan latihan
yang demikian seperti keadaan ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci.
Selama di Tanah Suci, segala-galanya ditinggalkan di tanah air sendiri. Di
hadapan Baitullah seorang hamba menghadap dengan sepenuh jiwa raga kepada
Tuhannya. Dia tidak khuatirkan keluarga, harta dan pekerjaan yang ditinggalkan
kerana semuanya sudah diserahkannya kepada penjagaan Allah s.w.t. Allah s.w.t
adalah Pemegang amanah yang paling baik. Dia menjaga dengan
sebaik-baiknya apa yang diserahkan kepada-Nya. Syarat penyerahan itu adalah
keyakinan.
Perlu juga
dinyatakan bahawa latihan kerohanian secara tarekat tasauf
bukanlah satu-satunya jalan kepada Allah s.w.t. Tujuan utama latihan secara
tasauf adalah untuk mendapatkan ikhlas dan penyerahan yang menyeluruh
kepada Allah s.w.t. Ikhlas dan penyerahan boleh juga diperolehi walaupun tidak
menjalani tarekat tasauf tetapi tanpa latihan khusus
pembentukan hati kepada suasana yang demikian adalah sukar dilakukan.
Jalan yang
tidak ada latihan khusus adalah jalan kehidupan harian. Pada jalan ini orang
yang beriman perlu bekerja kuat untuk menjalankan peraturan Islam dan
mempertahankan iman. Pancaroba dalam kehidupan harian sangat banyak dan orang
yang beriman perlu berjalan dicelah-celahnya, menjaga diri agar tidak tertawan
dengan penggoda. Kewaspadaan dalam kehidupan harian itu adalah sifat takwa.
Orang yang bertakwa adalah orang yang mulia pada sisi Allah s.w.t.
Walau jalan
mana yang dilalui matlamatnya adalah memperolehi ikhlas, berserah diri dan
bertakwa.
JANGAN MEMINTA KEPADA ALLAH S.W.T
SUPAYA DIPINDAHKAN DARI SATU HAL KEPADA HAL YANG LAIN, SEBAB JIKA ALLAH S.W.T
MENGKEHENDAKI DIPINDAHKAN KAMU TANPA MERUBAH KEADAAN KAMU YANG LAMA.
Hal adalah
pengalaman hati tentang hakikat. Hal tidak boleh didapati melalui amal dan juga
ilmu. Tidak boleh dikatakan bahawa amalan menurut tarekat tasauf menjamin
seseorang murid memperolehi hal. Latihan secara tarekat tasauf hanya
menyucikan hati agar hati itu menjadi bekas yang sesuai bagi menerima
kedatangan hal-hal (ahwal). Hal hanya diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t.
Mungkin timbul pertanyaan mengapa ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan
dalam Hikmat yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak menyampaikan
kepada Tuhan?
Perlu
difahami bahawa seseorang hamba tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan
tidak mahu bertemu dengannya. Tetapi, jika Tuhan mahu menemui seseorang hamba
maka dia akan dipersiapkan agar layak berhadapan dengan Tuhan pada pertemuan
yang sangat suci dan mulia. Jika seorang hamba didatangi kecenderungan untuk
menyucikan dirinya, itu adalah tanda bahawa dia diberi kesempatan untuk
dipersiapkan agar layak dibawa berjumpa dengan Tuhan. Hamba yang bijaksana
adalah yang tidak melepaskan kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda kepada
waktu yang lain. Dia tahu bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha
Mulia, lalu dia menyerahkan dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap
dia layak menghadap Tuhan sekalian alam. Makam di mana hamba dipersiapkan ini
dinamakan aslim atau menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu
bagaimana mahu mempersiapkan hamba yang Dia mahu temui. Tujuan amalan tarekat
tasauf ialah mempersiapkan para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan
layak untuk dibawa berjumpa dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t).
Walaupun hal merupakan anugerah Allah s.w.t semata-mata, tetapi hal hanya
mendatangi hati para hamba yang bersedia menerimanya.
Murid atau
salik yang memperolehi hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang
dicetuskan oleh hal itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai
dengan cetusan hal tersebut. Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang
diperolehi dengan anugerah bila diusahakan akan menjadi makam. Misalnya, Allah
s.w.t mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia
sentiasa berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin,
mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya rasa
tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya sewaktu
hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa atau zikir,
sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian dia mencapai
makam ihsan.
Satu sifat
semula-jadi manusia adalah tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi
malah dalam perkara ukhrawi juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih
dibaluti oleh sifat-sifat kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan
merasai nikmatnya. Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia
memohon kepada Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya. Sekiranya hal yang datang
tidak diperteguhkan ia tidak menjadi makam. Bila hal berlalu ia menjadi
kenangan, tidak menjadi keperibadian. Meminta perubahan kepada hal yang lain
adalah tanda kekeliruan dan boleh membantut perkembangan kerohanian.
Kekuatan yang
paling utama adalah berserah kepada Allah s.w.t, reda dengan segala lakuan-Nya.
Biarkan Allah Yang Maha Mengerti menguruskan kehidupan kita. Sebaik-baik
perbuatan adalah menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan
meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Semakin hampir dengan Allah
s.w.t semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari
majlis-Nya sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan
Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi. Oleh yang demikian, tunduklah kepada
kemuliaan-Nya dan berserahlah kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan
menguruskan keselamatan dan kesejahteraan para hamba-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar